|
SEREMBAN – Seorang penternak kerugian apabila seekor ternakannya mati selepas dikerat dua, di kawasan kebunnya, dekat Kampung Sentosa, kelmarin.
Penternak, Muhamad Hanip Muhamad Din, 62, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 12 tengahari setelah dimaklumkan oleh rakannya yang melalui kawasan kebun berkenaan untuk mencari petai.
Menurut Muhamad Hanip, pada jam 8 pagi, lembu yang ditambat dalam kebun itu sedang meragut rumput seperti biasa.
"Kira-kira jam 12 tengahari, kawan saya datang ke rumah, beritahu lembu saya dah mati dan dikerat dua.
"Saya percaya ia dilakukan untuk tujuan mencuri. Tapi pencuri tu tak sempat bawa lari lembu, sebab pada masa dia buat kerja kebetulan ada orang lalu. Saya yakin mereka panik dan terus lari tinggalkan bangkai lembu yang sudah dikerat," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, melihat cara pemotongan lembu itu, Muhamad Hanip yakin perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang yang mahir dalam kerja-kerja penyembelihan.
Malah katanya, cara pencuri terbabit memotong dan mengeluarkan perut lembu juga berada dalam keadaan kemas.
"Kalau orang biasa tak tahu macam mana nak keluarkan perut lembu ini. Saya yakin perbuatan ini mesti dilakukan oleh mereka yang biasa dengan kerja-kerja jual dan melapah daging.
"Walau bagaimanapun, saya tidak mahu menuduh sesiapa, biar polis jalankan siasatan," katanya.
Disebabkan kejadian itu, Muhamad Hanip mengalami kerugian RM4,000 dan satu laporan dibuat dekat Balai Polis Paroi, Selasa lalu.
Dalam pada itu, dia turut menasihatkan kepada penternak lembu supaya berhati-hati kerana pencuri lembu semakin berani melakukan jenayah di siang hari.
|
|