KUALA LUMPUR: Stadium Putra Bukit Jalil bakal digegarkan oleh kumpulan K-Pop terkenal, BigBang selama dua hari bermula esok.
Wakil penganjur IME Productions, Rachel berkata tiket acara BigBang 2015 World Tour [Made] In Malaysia pada 25 Julai ini telahpun habis dijual manakala tiket pada 24 Julai juga hampir habis dijual.
Malaysia merupakan negara keenam lokasi konsert jelajah kumpulan itu selepas Korea Selatan, China, Hongkong, Thailand dan Singapura dan populariti kumpulan idola Korea Selatan itu dijangka bakal menarik sejumlah besar peminat antarabangsa ke sini.
Kumpulan BigBang terdiri daripada lima anak muda iaitu G-Dragon, T.O.P, Taeyang, Daesung, dan Seungri dan terkenal dengan lagu hits mereka "Haru-Haru" dan "Fantastic Baby" yang mendapat tontonan lebih 150 juta di YouTube.
SEORANG wanita Rusia sanggup menempuh penerbangan sejauh lebih 8,000 kilometer selama 10 jam dari Moscow ke Malaysia semata-mata untuk menonton persembahan kumpulan muzik kegemarannya dari Korea, BigBang, di sini.
Alina Emelianenko, 31, memberitahu Bernama beliau membelanjakan sebahagian besar pendapatannya untuk menonton persembahan secara langsung kumpulan itu dalam konsert '2015 World Tour (Made) in Malaysia' pada 24 dan 24 Julai di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.
Doktor gigi itu berkata beliau akan berada di Malaysia selama seminggu sebelum pulang ke tanah airnya.
"Saya mengikuti siri jelajah mereka sejak destinasi pertama lagi iaitu di Korea, sebelum ke Jepun, Singapura dan sekarang di Malaysia," katanya dengan nada gembira ketika ditemui di Stadium Putra malam tadi.
Seorang lagi peminat tegar kumpulan muzik lelaki itu, Fajer Khalid, dari Kuwait, berkata beliau dan keluarganya mungkin tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia jika tidak kerana ingin menonton konsert BigBang di sini.
"Saya amat meminati kumpulan ini dan sangat menggemari muzik mereka. Oleh kerana mereka tidak mengadakan persembahan di Kuwait, maka terpaksalah saya mengajak keluarga saya berkunjung ke Malaysia agar saya dapat menonton konsert mereka secara langsung, sambil melawat tempat menarik di Malaysia," kata wanita berusia 21 tahun itu.
Emelianenko dan Fajer adalah antara 2,800 peminat antarabangsa kumpulan k-pop BigBang, yang datang ke Malaysia untuk menonton konsert selama dua hari itu, kata Malaysia Major Events (MME), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Eksekutif Perhubungan Awam dan Komunikasi MME, Gaya Subramaniam, berkata perkara itu membuktikan bahawa penganjuran sesuatu acara besar boleh menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negara ini memandangkan para pelancong dianggar membelanjakan RM15.3 juta sempena acara itu.
"Konsert antarabangsa seprti ini sudah tentu akan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi acara atau hab bagi konsert antarabangsa dan acara berasaskan gaya hidup, di samping menggalakkan penonton melanjutkan tempoh mereka berada di negara ini untuk melawat tempat menarik," katanya. - Bernama
Jadikan konsert Kpop hari ini sebagai kertas litmus agamawan – Ashraff Nazrin
Hari ini akan berlangsung satu lagi konsert yang membawakan artis Korea (Kumpulan Big Bang) sebagai penghibur untuk anak muda di Malaysia. Dan seperti biasa, satu minggu ini jugalah akan penuh dengan tulisan, kempen, bantahan terhadap konsert ini di media-media alternatif. Kempen-kempen dan tulisan seperti ini selalunya dijuarai golongan anak muda dan mahasiswa mewakili persatuan Islam masing-masing.
Tulisan ini bukan ingin merendahkan usaha-usaha anak muda dan mahasiswa yang terlibat dalam niat ingin menghentikan budaya hedonisme seperti ini, tetapi ingin mengambil sudut pandang yang sedikit berbeza dari perkara yang setiap tahun berulang.
Setiap tahun apabila adanya konsert-konsert Korea seperti ini tulisan yang sama akan memenuhi media massa. "Belia tolak Kpop!", "Mahasiswa tolak hedonisme!" dan sebagainya.
Persoalannya di sini, ke mana para agamawan dan mahasiswa Islam kita pergi ketika dalam tempoh setahun sebelum konsert yang akan datang menyergah ke Malaysia? Berapa banyak sesi penerangan yang dibuat persatuan-persatuan yang berautoriti dan dilihat jaguh ketika konsert ini berlangsung? Adakah persatuan-persatuan yang dilihat dominan ini sibuk dengan politik negara sehingga terlupa menyentuh hati mad'u dari kelompok hiburan?
Kelompok hiburan seperti ini seperti dilupakan selama setahun, kemudian apabila hadir Konsert seperti ini sekali atau dua kali dalam setahun, masyarakat, terutamanya golongan agamawan terus menerkam dan menyalahkan perbuatan mereka tanpa belas. Mungkin golongan ini memerlukan perhatian, dan Kerajaan Malaysia menyediakan ruang perhatian tersebut untuk di ambil para agamawan sebagai satu platform untuk menyantuni golongan sebegini. Mungkin ini satu metodologi baru. Mungkin ini satu teori. Mungkin ini boleh salah, tapi kecaman setiap tahun yang boleh menjauhi golongan tersebut daripada agama sudah tentu salah dan tidak boleh terus diulang.
Konsert hari ini sangat sesuai dijadikan kertas litmus untuk tujuan menguji sama ada Jabatan-jabatan, NGO-NGO, Persatuan-Persatuan dan Mahasiswa Islam yang mempunyai kesedaran terhadap agama benar-benar menjalankan tugas mereka selama tempoh sebelum konsert ini berlangsung.
Ujian seperti adakah penganjur konsert tersebut menyediakan garis panduan berpakaian terhadap artis, waktu penganjuran tidak menganggu waktu solat, pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita dan sebagainya adalah ujian yang boleh kita nilai secara realistik. Sekiranya agamawan kita berjaya mendidik sebelum ini, perkara ini sudah semestinya akan dilakukan penganjur tanpa sebarang peringatan. – 25 Julai, 2015.