|
MALAYSIA meraih 62 pingat emas pada temasya Sukan Sea ke-28 yang berakhir di sini semalam dengan melepasi sasaran maksimum 184 pingat atau 56 peratus jumlah pingat keseluruhan.
Kontinjen negara meraih 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa daripada temasya itu yang berlangsung secara rasmi selama 11 hari bermula 6 Jun lepas.
Atlet-atlet negara telah mempamerkan prestasi luar biasa pada Sukan Sea 2015 apabila berjaya mengatasi kutipan 40 emas pada edisi 2009 di Laos, 2011 di Indonesia (58 emas) dan 2013 di Myanmar (43 emas).
Berdasarkan analisis pencapaian atlet di Sukan Sea Singapura yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN), seramai 151 atlet yang berumur 21 tahun dan ke bawah telah menyumbang kepada kutipan pingat kontinjen negara.
Sementara 60 daripada jumlah itu adalah atlet yang pertama kali mewakili negara dengan menunjukkan prestasi cemerlang apabila menyumbang 28 daripada 62 pingat emas yang diperoleh kontinjen negara.
Antaranya Muhammad Rafiq Ismail, pemain boling berusia 18 tahun yang berjaya meraih tiga pingat emas melalui acara perseorangan, trio dan berpasukan.
Begitu juga dengan Welson Sim, yang juga berusia 18 tahun, dalam acara renang 400m gaya bebas lelaki apabila berjaya mencipta rekod baru Sukan Sea dengan catatan masa 3:53.97s.
Sementara skuad skuasy pula yang turut dibarisi pemain-pemain pelapis berjaya mengekalkan penguasaan negara dalam acara itu selepas meraih empat pingat emas.
Dalam pada itu, sebanyak lima rekod baru kebangsaan dicipta pada temasya kali ini, empat daripadanya adalah dari acara renang dan satu daripada acara olahraga.
Muhammad Hakimi Ismail adalah atlet paling boleh dibanggakan selepas berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan menamatkan penantian 18 tahun acara lompat kijang lelaki dengan meraih pingat emas sekali gus mencipta rekod baru Sukan Sea dan juga rekod kebangsaan.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara tersebut ialah pada Sukan Sea 1997 di Jakarta, Indonesia menerusi Mohd Zaki Sadri dengan catatan sejauh 16.05 meter.
Beliau turut memadam rekod memadamkan rekod 16.67m milik atlet Vietnam, Hung Nguyen Van pada Sukan Sea 2013 di Myanmar.
Tidak ketinggalan, atlet-atlet yang membuat penampilan semula juga tidak menghampakan selepas masing-masing berjaya menghadiahkan pingat emas untuk negara pada temasya kali ini dan pemain boling veteran Shalin Zulkifli adalah antaranya.
Pemain boling yang berusia 37 tahun itu mahu berundur sebagai pemain selepas aksi di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan tahun lepas tetapi menerima permintaan untuk mewakili negara di Sukan Sea.
Ironinya, Shalin yang membuat penampilan pertama dalam temasya Sukan Sea pada 1993 di Singapura dengan memenangi dua pingat emas dan akan menutup tirai kerjayanya sebagai pemain boling selama 23 tahun dengan satu pingat emas pada Sukan Sea Singapura kali ini, yang merupakan penampilan ketujuh beliau dalam temasya dwitahunan itu.
Kecuali pada temasya Sukan Sea di Chiang Mai, Thailand pada 1995 sahaja, Shalin berjaya membawa pulang pingat emas di setiap penampilannya -- Jakarta 1997 (2), Brunei 1999 (5), Kuala Lumpur 2001 (4) dan Korat 2007 (3).
Beliau tidak mengambil bahagian di Manila (2005) dan Indonesia (2011), bagaimanapun acara sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan Sea Vietnam (2003) dan Myanmar (2013).
Namun begitu, ada beberapa sukan prestasi tinggi atau sukan teras seperti bola sepak dan tinju yang gagal menghasilkan kutipan pingat yang disasarkan.
Kegagalan pasukan bola sepak membawa pulang 'ibu segala pingat emas' sememangnya sudah dijangka tetapi paling mengecewakan mereka gagal meraih sebarang pingat.
Sementara acara tinju pula menyaksikan penurunan prestasi berbanding pencapaian satu perak dan tiga gangsa pada edisi di Myanmar.
Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbarnya semalam tidak menolak kemungkinan kementerian akan mengkaji peruntukan kewangan untuk dua sukan berkenaan sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea 2017 yang bakal dihoskan oleh Malaysia.
Kajian juga akan dibuat terhadap peruntukan geran pembangunan sukan kepada beberapa sukan lain yang mempamerkan aksi hambar pada temasya di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan kerjanya di sini mahu Malaysia muncul selaku juara keseluruhan temasya Sukan Sea apabila negara menjadi tuan rumah.
Selaku tuan rumah edisi yang berikutnya, seramai 2,310 atlet dijangka akan dinamakan oleh pihak persatuan sukan kebangsaan untuk menjalani latihan fasa pertama Program Penyediaan Atlet ke arah Sukan Sea 2017.
Jika temasya Sukan Sea Singapura diletakkan sebagai 'Sukan Pembangunan', atlet Malaysia perlu mempergiatkan usaha ke tahap optimum untuk mengulangi kejayaan 2001. - Bernama
|
|