|
Kejayaan meraih pingat emas ke-60 pada hari ke-11 temasya Sukan SEA ke-28 di Singapura membolehkan kontinjen negara menyamai pencapaian di Manila pada 2005.
Pada temasya itu, Malaysia mengumpul 61 pingat emas, 49 perak dan 65 gangsa.
Selepas tamat hari ke-11, kontinjen negara menambah satu pingat emas dan dua perak melalui acara petanque Triples lelaki dan wanita.
Malaysia kekal di kedudukan keempat dengan 60 pingat emas, 55 perak dan 66 gangsa.
Kontinjen negara sudah pasti menambah dua pingat emas esok apabila atlet Malaysia bersaing sesama sendiri dalam penentuan pingat emas acara badminton pada hari terakhir esok.
Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Wei Feng akan menentang Muhamad Ariff Ab Latif di perlawanan akhir sementara Vivian Ho-Woon Khe Wei akan menentang Soong Fie Cho-Amelia Alicia Anscelly dalam acara beregu wanita.
Pemain negara turut melayakkan diri dalam acara beregu campuran melalui gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan bertemu dengan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto.
Sementara itu, dalam penentuan pemenang 'ibu segala pingat emas' Sukan SEA menyaksikan Thailand mengekalkan pingat emas untuk dua kali berturut selepas mengalahkan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional, Hab Sukan Singapura, malam ini.
Dalam penentuan pingat gangsa, Vietnam mengalahkan pemenang pingat perak edisi dua tahun lepas, Indonesia dengan 5-0.
stadiumastro
|
|