|
Skuad boling negara menyumbang pingat emas ketiga kepada kontinjen negara pada Sukan SEA ke-28 melalui acara trio lelaki di Orchid Bowl, Orchid Country Club, hari ini.
Gandingan Muhammad Rafiq Ismail, Muaz Ahmad Fishol dan Timmy Tan memberi saingan terbaik untuk mengatasi pencabar terdekat dengan mengumpul 3,701 jatuhan pin.
Trio Singapura meraih perak dengan 3,656 pin manakala pingat gangsa menjadi milik Indonesia dengan 3,653 pin.
"Saya gembira dengan pingat emas ini dan saingan sememang sangat sengit hari ini. Kami hanya memberikan permainan yang terbaik dan langsung tidak melihat papan markah.
"Kami cuma beri tumpuan kepada permainan masing-masing. Saya tidak bermain dengan begitu baik dalam paten 'medium oiling' dan rakan- rakan yang lain bermain dengan begitu baik sekali," kata Muhammad Rafiq, yang meraih dua pingat
emas setakat ini pada penampilan pertama.
Sementara satu lagi trio Malaysia -- Adrian Ang, Alex Liew dan Jonathan Chan menamatkan saingan di tempat keempat dengan 3,607 pin.
Dalam kategori wanita, gandingan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman ketinggalan 23 pin untuk meraih
pingat gangsa.
Pingat gangsa dimenangi trio Filipina yang mencatatkan 3,608 pin, sementara Singapura menyapu dua kedudukan teratas dengan 3,963 dan 3,707 pin.
Satu lagi trio negara yang dibarisi pemain berpengalaman Shalin Zulkifli, Sin Li Jane dan Esther Cheah sekadar menduduki tempat kesembilan dengan 3,452 pin.
stadiumastro
|
|