|
SKUAD badminton negara bermula dengan langkah kanan selepas pasukan lelaki dan wanita mencatat kemenangan pada saingan suku akhir acara berpasukan pada Sukan Sea 2015 di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Skuad lelaki negara yang diketuai bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mudah menundukkan Kemboja 3-0 manakala skuad wanita terpaksa bangkit daripada dua kekalahan dalam acara perseorangan wanita sebelum menundukkan Vietnam 3-2 pada aksi yang berlangsung pada sesi pagi.
Kedua-dua skuad lelaki dan wanita negara di jadual tugas getir berdepan juara bertahan, Indonesia pada saingan separuh akhir, hari ini.
Dalam acara berpasukan lelaki, Chong Wei Feng memberikan permulaan cemerlang untuk Malaysia selepas mengalahkan Chanmara Tep 21-7 dan 21-11 dalam masa 20 minit sebelum Chong Wei hanya mengambil masa 13 minit untuk mengalahkan Cheng Phor Rhom, 21-10 dan 21-5.
Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengesahkan kemenangan selesa ke atas Kemboja menerusi kemenangan straight set 21-8 dan 21-11 ke atas Teav Yong Vannak dan Nguon Kanora.
Berbeza pula dengan laluan yang dihadapi oleh skuad wanita negara apabila menerima tentangan sengit daripada Vietnam sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2.
Perseorangan wanita negara, Lim Yin Fun ‘menghadiahkan’ mata pertama untuk Vietnam selepas kalah 17-21 dan 16-21 kepada Vu Thi Trang sebelum Nguyen Thi Sen menjarakkan kedudukan kepada 2-0 menerusi kemenangan 21-17, 16-21 dan 21-17 ke atas Ho Yen Mei.
Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho menghadirkan mata pertama untuk Malaysia selepas mengalahkan Thai Thi Hong Gam dan Pham Nhu Thao, 21-8 dan 21-10.
Pemain pelapis kebangsaan, Goh Jin Wei menyamakan kedudukan 2-2 menerusi kemenangan rubber-set 21-19, 18-21 dan 21-11 ke atas Nguyen Thuy Linh sebelum beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei mengesahkan kemenangan mutlak Malaysia selepas mengalahkan Vu Thi Trang dan Nguyen Thi Sen, 21-14 dan 21-14.
sinarharian
|
|