Juara bertahan Pahang dan wakil Singapura, Lions XII mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA setelah mengalahkan lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, malam ini. Pahang yang menang 2-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur, 7 April lepas, terikat 2-2 pada aksi timbal balik di Stadium Bandaraya, malam ini.
Dua gol Pahang dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit keenam dan ke-10 sebelum Hilton Mauro Moreira menyamakan kedudukan untuk Pulau Pinang pada minit ke-77 dan 87.
Keputusan itu, bagaimanapun tidak menghalang skuad Tok Gajah untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-2.
Pahang bakal berdepan Kelantan pada aksi separuh akhir, awal bulan depan.
Kelantan selaku juara dua kali Piala FA, melangkah ke separuh akhir susulan kemenangan dengan agregat 4-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC dalam satu lagi aksi suku akhir.
Dalam pada itu, Lions XII mengalahkan pasukan Liga Perdana, JDT II 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, malam ini untuk mara dengan agregat 4-0.
Untuk rekod, Lions XII menang 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, 8 April lepas.
Pada aksi di Johor Baharu itu, Muhammad Khairul Nizam Mohammad Kamal meledak gol pertama Lions XII setelah menanduk masuk hantaran daripada abangnya, Muhammad Khairul Amri pada minit ke-19 sebelum Muhammad Nazrul Ahmad Nazari mengesahkan tiket ke separuh akhir menerusi gol kedua pada minit ke-64.
Mereka dijadual menentang Terengganu pada aksi separuh akhir.
Terengganu mara ke separuh akhir setelah mengatasi Perak dengan agregat 3-1 pada satu lagi aksi suku akhir.
Perlawanan separuh akhir akan diadakan mengikut format timbal balik pada 8 dan 9 Mei bagi separuh akhir pertama, diikuti aksi timbal balik pada 15 dan 16 Mei.
sumber:www.stadiumastro.com
|