|
Nexus 6 bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Google baru saja memperkenalkan peranti terbaru mereka, Google Nexus 6 yang dikategorikan sebagai phablet. Kali ini, ia akan dihasilkan oleh Motorola. Ini merupakan kali pertama Motorola dipilih untuk menghasilkan Nexus. Dengan pengenalan peranti baru ini, ia menandakan OS baru yang akan tiba bersamanya. Serentak dengan ini, Google turut memperkenalkan OS terbaru Android, iaitu Android 5.0 Lollipop.
Sekilas pandang, Nexus 6 kelihatan seperti HTC One M8. Ia mempunyai bentuk lengkung di belakang, dengan bahagian tengah paling tebal. Ia menggunakan kerangka aluminium di tepi dan plastik seakan seramik di belakang. Sesuai dengan nombornya, Nexus 6 menampilkan skrin AMOLED bersaiz 6-inci, dengan resolusi Quad-HD 2560×1440 yang membawa 493 PPI. Nexus 6 juga meletakkan dua pembesar suara di hadapan.
Kamera pada Nexus 6 dipertingkatkan dengan penstabil imej optikal (OIS) dan juga penggunaan LED berbentuk cincin, untuk cahaya yang lebih seimbang. Kamera ini boleh merakan video dengan resolusi 4K. Selain itu, ia juga mempunyai teknologi mengecas bateri turbo, yang boleh mengecas pantas, memberi 6 jam masa penggunaan dengan cas selama 15 minit sahaja. Bateri 3220 mAH yang besar ini, dijangka mampu bertahan lebih 24 jam.
Phablet Nexus 6 akan mula di jual di Amerika Syarikat pada bulan November, dengan pratempah akan dibuka pada penghujung bulan Oktober. Ia boleh dibeli dengan pilihan set tidak dikunci melalui Google Play Store, atau bersama plan kontrak bulanan dari telko di Amerika Syarikat seperti AT&T, Sprint, T-Mobile, U.S. Cellular dan Verizon. |
|