Saya masih isteri Zamarul
ADA yang pandai-pandai buat spekulasi mengenai rumah tangga pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham yang didakwa sedang bergolak akibat tiada persefahaman.
Mudahnya orang membuat tanggapan itu hanya kerana berpaksikan pemerhatian mereka apabila Diana dan Zamarul yang semakin jarang kelihatan bersama-sama sejak kebelakangan ini.
Bukan setakat menghadiri majlis-majlis keramaian, di laman sosial juga langsung tidak menampakkan mereka bergambar bersama-sama sehingga memberi ruang kepada pelbagai pihak membuat andaian sedemikian.
Bukan sekali tetapi sudah kerap pelakon berusia 32 tahun ini ditebak dengan pertanyaan ‘membunuh’ itu. Sebagai seorang wanita dan isteri, Diana akui hatinya mudah rapuh tatkala terpaksa berhadapan dengan pelbagai pertanyaan mengenai perkahwinannya.
Diana akui, rumah tangganya agak dingin kerana beberapa faktor. Paling utama tentu sekali kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kebetulan banyak masa suaminya penuh dengan aktiviti seninya sebagai pelakon.
"Saya sedar ramai yang mahukan penjelasan mengenai status kami hanya disebabkan mereka lihat kami jarang bersama-sama. Malah dalam laman sosial juga jarang kami bergambar berdua.
Berdiam diri
"Apabila selalu orang bertanya, saya tak tahu nak jawab apa. Jadi pada kebanyakan masa saya memang akan berdiam diri. Kalau orang bertanya di laman sosial contohnya, saya ambil pendekatan memadam semua komen-komen sebegitu.
"Saya memang tak nak tengok (komen negatif) sebab hanya akan menyakitkan hati dan membuat saya tertekan," jelasnya. Menggali yang terbuku di hati Diana, wanita ini yang pernah hadir dengan single Hak Milik Kekal berduet dengan kakaknya Linda Rafar berkata, dia masih lagi isteri Zamarul biarpun ramai menuduh bahawa mereka sudah tidak lagi duduk sebumbung.
"Saya akui masa kami bersama-sama agak terhad. Tetapi itu disebabkan dia sibuk bekerja dan banyak masanya dihabiskan di lokasi penggambaran. Kami tak pernah membangkitkan isu ini kerana selalunya saya dan dia buat tak tahu sahaja agar tidak mengeruhkan keadaan.
"Sebagai seorang isteri, saya amat memahami dia. Saya tahu ada yang bertanya kepadanya (tentang rumah tangga) tetapi dia tak pernah jawab. Itu prinsip dia. Hal-hal seperti ini, dia memang susah untuk buka mulut. Namun ingin saya jelaskan yang saya dengan dia baik.
"Ada juga yang bertanya , boleh tahankah Diana dengan sikap Zamarul yang begitu. Saya senang untuk menjawab, ini adalah pilihan saya. Justeru sudah tentulah saya menerima seadanya," tambah Diana.
Biarpun tahu hubungannya sebagai suami isteri agak dingin, Diana bagaimanapun tidak menafikan bahawa kemesraan antara pasangan seharusnya dicipta dan dikekalkan atas kerelaan dan usaha antara satu sama lain.
Last edited by changa=famri7 on 14-10-2014 12:23 AM
|