SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Rita Rudaini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam bahawa bekas suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak tidak meninggalkan sebarang wang simpanan atau barang berharga untuk digunakan sejak keluar dari rumah kelamin mereka pada Januari 2012. Rita, 38, menerusi afidavit keterangan yang diikrarkan di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man juga berkata, sejak tarikh itu sehingga perceraian mereka pada Ogos 2013 iaitu selama tempoh 20 bulan, Mohd. Aidil tidak pernah menghantar wakil untuk membayar nafkah bagi pihak ketua pasukan Harimau Malaya itu.
“Permintaan saya secara baik di luar mahkamah untuk Mohd. Aidil menunaikan tanggungjawab juga tidak diendahkannya,” katanya. Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar berkata demikian menerusi aifidavit keterangan semasa prosiding perbicaraan tuntutan nafkah tertunggak isteri berjumlah RM102,000 di sini semalam.
|