|
Ribut landa Pohon Tanjung
RANTAU PANJANG – Sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk di Kampung Kedai Pohon Tanjong, di sini, dan bangunan kerajaan rosak teruk akibat ribut petir yang melanda pada jam 6.30 petang kelmarin.
Selain itu, kedai, sekolah rendah dan masjid turut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, manakala dewan terbuka milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) ranap serta menghempap dua kenderaan yang diletakkan di kawasan itu.
Pengurus Besar PPK Alor Mas, Muhamad Azmi Che Jusof berkata, lori lima tan dan kereta Proton Saga kepunyaan Ahli Lembaga Pengarah PPK Alor Mas rosak teruk selepas dihempap tiang dewan berkenaan.
"Ini kali pertama dewan terbuka berusia lebih 25 tahun dan berasaskan kayu mengalami kerosakan teruk. Kerugian dianggarkan sebanyak RM150, 000, tidak termasuk kerosakan kereta dan lori," katanya.
Menurut Muhammad Azmi, dewan yang mencapai ketinggian lebih lima meter, lebar 30 meter dan panjang 50 meter itu digunakan untuk majlis PPK bersama petani.
"Kerja mengalihkan kenderaan di bawah runtuhan serta membaiki bumbung surau, pejabat, stor baja dan kuarters PPK akan dilakukan segera. Kos baiki bangunan dianggarkan lebih RM20,000," katanya.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Mukim Pohon Tanjong, Muhamad Mad Yusof berkata, kejadian turut menyebabkan kubah masjid berkenaan tercabut, manakala siling dan dinding masjid rosak menyebabkan air membanjiri ruang solat Muslimin dan Muslimat.
"Kos bina semula kubah masjid dianggarkan bernilai RM12,000," katanya.
Penduduk, Che Ismail Che Abdullah, 81 berkata, dia sedang membaca surah Yasin di beranda rumah sementara mengunggu waktu berbuka puasa ketika kejadian berlaku dan mengejutkan dia serta isterinya, Fatimah Ishak, 76.
"Kami dengar dentuman kuat dari belakang rumah dan cuba lihat apa yang berlaku. Namun hujan terlalu lebat dan menyukarkan kami melihat keadaan di luar rumah.
"Sejurus selepas itu kami dapati bumbung rumah dibawa angin. Nasib baik bumbung dan siling rumah tidak runtuh," katanya.
|
|