|
JIKA dikaji, kebanyakan filem lakonan atau nama pentasnya Mark Wahlberg di layar perak lebih kepada aksi.
Malah, bakat lakonannya juga mula terserlah menerusi filem bergenre aksi, Boogie Nights yang ditayangkan pada 1997.
Sejak itu, aktor berusia 43 tahun ini, rancak membintangi filem bergenre sedemikian seperti Three Kings (1999), The Corruptor (1999), The Perfect Storm (2000), The Yards (2000), Planet of the Apes (2001), The Truth About Charlie (2002), I Heart Huckabees (2004), Four Brothers (2005), The Departed (2006), Shooter (2007), We Own The Night (2007), The Happening (2008) dan Max Payne (2008).
Kekerapan membintangi filem bercorak aksi menjadikan Wahlberg bukan dikenali sebagai pelakon yang boleh membuatkan penonton ketawa dengan lakonannya di layar perak.
Malah, beberapa lakonan yang dibintanginya seperti Invincible (2006), The Lovely Bones (2009), The Fighter (2010), Contraband (2012), Lone Survivor (2013) dan Broken City (2013).
Begitu pun, sebagai aktor serba boleh, Wahlberg menunjukkan keupayaan dalam filem berunsur komedi atau humor menerusi filem The Other Guys (2010), Date Night (2010) Ted (2012), Pain & Gain (2013) dan 2 Guns (2013).
"Saya mahu mencuba semuanya dan saya mahu melakukannya. Jika saya bijak memilih dalam apa yang saya buat, maka hasilnya baik," katanya yang juga seorang penerbit.
Biarpun Wahlberg berlakon dalam filem komedi, namun filem berkenaan turut menyelitkan elemen aksi dan jenayah.
Minat dengan Malaysia?
Filem The Italian Job yang ditayangkan pada 2003, menyebabkan aktor utamanya, Wahlberg berhasrat meneruskan sekuelnya, The Brazilian Job.
Lebih menarik, apabila Wahlberg berhasrat menjalankan penggambaran sekuel filem berkenaan di Malaysia.
Dia juga berminat menghubungi pihak berkuasa di Malaysia bagi mendapatkan sokongan penggambaran di negara ini.
"Sebenarnya sudah lama dan banyak kali saya bercakap mengenai rancangan untuk membuat sekuel filem itu.
"Saya berminat untuk menghubungi Kerajaan Malaysia jiks saya boleh melakukan penggambaran sebahagian daripada filem berkenaan di Malaysia," katanya.
Tambahnya, Malaysia dipilih sebagai lokasi penggambaran berdasarkan faktor keindahan dan tarikan pelancongannya.
"Saya tahu Malaysia adalah tempat yang cantik dan ia (penggambaran filem ini) akan menarik lebih ramai pelancong ke sana," katanya.
Pembikinan sekuel filem The Italian Job pernah beberapa kali diperkatakan sejak 2004 dan kali terakhir dibangkitkan Wahlberg dalam satu temu ramah pada 2012 yang menyatakan bahawa skrip The Brazilian Job sedang diperkemas bagi memastikan filem itu lebih baik daripada filem pertamanya.
The Italian Job yang membabitkan kos pembikinan AS$60 juta (RM197 juta) dan berjaya menghasilkan kutipan sebanyak AS$176 (RM578 juta).
Filem arahan F Gary Gray yang ditulis oleh Wayne dan Donna Powers serta diterbitkan Donald DeLine itu turut menampilkan Charlize Theron, Edward Norton, Seth Green, Jason Statham, Mos Def dan Donald Sutherland.
Pembikinan semula filem Britain, The Italian Job 1969 itu mengisahkan sekumpulan pencuri yang merancang untuk merampas semula emas dilarikan oleh sekutu mereka yang belot.
Teruja bintangi Transformers
Dalam perkembangan lain, Wahlberg bakal tampil dalam sekuel keempat Transformer iaitu Transformers: Age Of Extinction menerusi watak Cade Yeager.
Selain Wahlberg, filem arahan Michael Bay ini turut menampilkan Jack Reynor, Nicola Peltz, Kelsey Grammer, Sophia Myles, Stanley Tucci, Li Bingbing dan T J Miller.
Akui Wahlberg, dia sangat teruja kerana dapat berlakon dalam filem ini.
"Filem ini memerlukan kekuatan fizikal. Bay beri kebebasan kepada saya hidupkan watak.
"Saya tahu apa yang dia nak dan apa yang dia cari. Kami saling menghormati dan menghargai cara dan hasil kerja masing-masing," katanya.
Keterujaannya bertambah apabila empat anaknya iaitu Elle, Michael, Brendan, dan Grace berpeluang muncul secara cameo di dalam filem berkenaan.
Nantikan kisah epik dan pertarungan antara kejahatan dan kebaikan serta kebebasan ini akan terjawab mulai 26 Jun ini!
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|