|
MESKIPUN masih baharu dalam industri hiburan, tidak mustahil Siti Khadijah Cooke atau lebih mesra disapa sebagai Khadijah mampu mencipta fenomenanya tersendiri suatu hari nanti.
Menceritakan mengenai single terbaharunya, Terbang, Khadijah memberitahu, ia adalah salah satu lagu ciptaannya yang dihasilkan menjurus pada kisah cinta yang dirasainya.
Menurutnya, ia lebih kepada ekspresi diri sendiri dan memandangkan ini percubaan baharu, dia cukup terharu dengan keyakinan Aidit Alfian kepadanya.
"Dia kenal saya ketika saya menyertai satu pertandingan muzik dan ketika itu saya menyanyikan lagu berkenaan.
"Sebelum mula merakam lagu tersebut untuk dijadikan single, dia ada bertanya kepada saya mengenai lagu-lagu lain ciptaan saya.
"Tapi, mungkin dia merasakan Terbang adalah yang terbaik, maka dia pun memilih lagu ini," jelasnya yang kini bernaung di bawah Aidit Alfian Records.
Walaupun single Terbang telah dirakamkan sejak tahun lalu, kini ia dilancarkan melalui iTunes.
Mengulas lebih lanjut, Khadijah memberitahu, dia akui lagunya itu lambat dikenali umum lantaran sibuk dengan pengajian diplomanya ketika itu.
"Kini, saya sudah tamat belajar dan fokus saya hanya adalah untuk menyanyi.
"Selepas ini, saya akan cuba berusaha keras dan menggunakan pelbagai medium yang ada bagi mempromosikan single ini," jelasnya yang lebih selesa memilih genre pop.
Tidak meletakkan satu tempoh tertentu untuk dikenali ramai, Khadijah berpendapat mahu menggunakan medium di laman YouTube sebagai salah satu usahanya itu.
"Laman sosial You Tube adalah satu medium yang sangat perlu terutamanya bagi artis-artis baharu seperti saya.
"Sebab, radio sekarang ini juga sering memutarkan lagu-lagu yang sudah ada pendengarnya sendiri.
"Justeru, penting bagi saya untuk berusaha dengan lebih kuat," katanya.
Begitu pun, Khadijah sangat bersyukur apabila kini lagunya itu menjadi salah satu lagu OST bagi drama bersiri Romi Cinta Julia yang kini sedang bersiaran di TV3.
"Saya sangat teruja dengan situasi itu. Pada mulanya, anak buah saya yang menyedarinya.
"Dengan perkembangan ini, saya berharap agar peminat dapat menerima baik muzik yang saya bawa," katanya.
Sokongan keluarga
Menyorot sedikit kisah pembabitannya dalam dunia muzik, Khadijah memberitahu, keluarga terutama bapanya, Abdul Rahim Cooke, adalah pendorong utamanya.
"Sejujurnya, minat saya pada muzik timbul sejak kanak-kanak lagi.
"Bapa adalah tulang belakang yang bertindak sebagai pendorong kepada minat ini.
"Melalui bapa, saya juga belajar bermain gitar dan kami banyak berlatih memainkan lagu dari kumpulan muzik The Beatles dan The Carpenters," katanya pada Zass ketika ditemui pada sesi fotografi, baru-baru ini.
Selain itu, katanya lagi, dia bukan saja menyanyi tetapi turut mengembangkan bakat seni yang dimilikinya itu melalui penciptaan lagu.
"Sejak berusia 19 tahun lagi, saya sudah mula membabitkan diri dengan penciptaan lagu dan di atas sokongan padu keluarga, saya memahat keyakinan serta usaha untuk mencuba nasib dalam dunia seni suara pula.
"Saya mengaku minat menyanyi. Tapi, untuk menulis lagu, saya sebenarnya tidak tahu.
"Tetapi, oleh kerana saya ingin belajar bermain gitar, jadi saya belajar untuk menulis lagu," katanya yang kini sudah pun mahir bermain gitar tetapi tidak berkeyakinan untuk mempersembahkannya di depan umum.
Jadi pereka grafik?
Jangan tidak tahu, selain minat dengan muzik, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis ini juga minat melukis.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia memilih jurusan seni grafik dan kini baharu saja menamatkan diplomanya di Kolej Universiti Segi.
"Secara umumnya, saya suka bidang seni.
"Saya minat melukis, mengambil gambar atau kerja-kerja yang melibatkan seni," kata anak kelima dari lapan beradik ini.
Disebabkan minatnya yang mendalam pada bidang seni, Khadijah pernah meletakkan cita-citanya untuk bergelar seorang pereka grafik suatu hari nanti.
"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi penyanyi sehinggalah dikenali ramai.
"Saya hanya terfikir satu hari nanti, saya akan menjadi seorang pereka grafik biasa sesuai dengan pengajian yang saya ambil di kolej," gelaknya lagi sambil mengakhiri perbualan.
|
|