|
Cate Blanchett dan Matthew McConaughey
ANUGERAH Akademi (Oscar) Ke-86 yang diadakan di Los Angeles, pagi semalam, menyaksikan pelakon senior, Cate Blanchett dan Matthew McConaughey, dinobatkan sebagai Pelakon Wanita/Lelaki Terbaik bagi anugerah berprestij itu.
Blanchett yang sebelum ini memenangi beberapa anugerah termasuk Golden Globe, Screen Actors Guild dan BAFTA awal tahun lalu, sekali lagi melakar kejayaan yang menjadi dambaan ramai aktres di Hollywood.
Dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Blue Jasmine, Blanchett, 44, berjaya menewaskan saingan terdekatnya, Amy Adams, Sandra Bullock , Judi Dench dan Meryl Streep yang bukanlah calang-calang dalam industri seni.
Pernah enam kali menerima pencalonan menerusi Oscar, ternyata kemenangan pertamanya ini memberikan momen yang bermakna buat pelakon kelahiran Australia ini.
“Penerimaan anugerah ini adalah paling bermakna dan sekali lagi, ia merupakan pencapaian luar biasa daripada wanita,” kata Blanchett dalam ucapan penerimaannya.
Menerusi filem Blue Jasmine, Blanchett membawa watak sebagai Jasmin, yang terpaksa berdepan nasib malang setelah kehilangan suami.
Terkenal sebagai pelakon yang berkarakter, Blanchett, berjaya melakonkan wataknya dengan penuh emosi bahkan turut mengheret sama penonton untuk merasainya.
Bukanlah pertama kali membawakan watak seumpama ini, pelakon The Missing dan The Aviator ini, sewajarnya menerima pengiktirafan menerusi Oscar.
Selain pernah memenangi Anugerah BAFTA bagi watak Katharine Hepburn menerusi The Aviator, Blanchett juga banyak menerima pencalonan menerusi wataknya sebagai Ratu Elizabeth (Elizabeth) dan juga beberapa filem box-office seperti The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring Galadriel dan Notes on a Scandal.
McConaughey tunjuk 'taring'
Sementara itu Matthew McConaughey, yang meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Dallas Buyers Club, tidak menduga kemenangan itu kerana semua persaingannya dirasakan hebat.
Berjaya mengalahkan aktor-aktor hebat handalan seperti, Bruce Dern (Nebraska), Leonardo DiCaprio (The Wolf of Wall Street), Chiwetel Ejiofor (12 Years a Slave) dan Christian Bale (American Hustle), McConaughey, bagaimanapun teruja dengan kemenangannya di anugerah berprestij itu.
“Pertama kali saya ingin berterima kasih kepada Tuhan, juga kepada keluarga dan juga peminat yang tidak pernah jemu menyokong karier saya selama ini.
"Anugerah ini sebagai hadiah kepada mereka dan saya akan pastikan usaha ini akan berterusan,” katanya yang turut memberikan penghargaan kepada mendiang bapanya yang selama ini banyak memberi dorongan kejayaan kepadanya.
Membawa watak sebagai Ron Woodroof menerusi filem Dallas Buyers Club, lakonan McConaughey sememangnya tidak perlu disangkal lagi.
Sedikit mengenai kejayaan awal McConaughey, jejaka kelahiran Texas ini, memulakan pembabitan filem menerusi My Boyfriends Back pada 1993. Dia mula menjadi buruan penerbit pada awal tahun 2000 kerana kehebatannya membintangi filem-filem bergenre romantik seperti The Wedding Planner (2001), How to Lose a Guy in 10 Days (2003.
Failure to Launch (2006) dan Ghosts of Girlfriends Past (2009), maka tidak hairanlah McConaughey, pernah menerima beberapa pencalonan menerusi anugerah berprestij.
Bagaimanapun filem Dallas Buyers Club yang paling banyak membawa kejayaan buatnya. Selain memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Oscar, McConaughey, turut memenangi 20 lagi anugerah dalam kategori yang sama, menerusi filem itu.
|
|