|
DIA hanya mula dikenali pada 1987 selepas menjadi ejen persekutuan, Eliot Ness dalam The Untouchables selain memegang watak utama dalam filem seram, No Way Out.
Kevin Costner mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelakon kelas A di Hollywood apabila lakonannya dalam filem bertemakan bola keranjang, Bull Durham (1988) dan Field Of Dreams (1989) 'meletup' di pawagam.
Kejayaan Costner seterusnya datang menerusi filem epik Dances With Wolves (1990). Pelakon berusia 59 tahun ini bukan saja berlakon tetapi turut menjadi pengarah dan penerbit. Lebih membanggakan lagi, filem ini memenangi tujuh kategori dalam Anugerah Akademi (Oscar) termasuklah Filem Terbaik.
Selepas kejayaan filem epik berkenaan, Costner lebih banyak berlakon dalam filem-filem pecah panggung seperti Robin Hood: Prince of Thieves (1991), JFK (1991), The Bodyguard (1992), Clint Eastwood’s A Perfect World (1993), The War (1994) dan Waterworld (1995).
Pelakon yang berasal dari Lynwood, California, Amerika Syarikat ini kemudiannya kembali ke kerusi pengarah melalui filem The Postman (1997) dan Open Range (2003). Begitupun, kedua-dua filem ini menerima kritikan yang cukup 'pedas' terutamanya daripada peminat filem.
Lebih memburukkan lagi, apabila filem itu 'memenangi' lima kategori dalam Anugerah Golden Raspberry (Razzie) termasuklah Anugerah Aktor Terburuk dan Pengarah Terburuk.
Keadaan itu membuatkan Costner berhenti seketika dalam dunia pengarahan dan lebih menumpukan kepada lakonan filem seperti Thirteen Days (2000), The Upside Of Anger (2005), The Guardian (2006), Mr. Brooks (2007), Swing Vote (2008) dan The Company Men (2010).
Dia juga muncul secara cameo dalam Field of Dreams 2: Lockout (2011) dan Man of Steel (2013) sebagai Jonathan Kent arahan Zack Snyder.
Selepas lebih sedekad berlalu, akhirnya Costner membuat pengumuman ingin mengarah semula menerusi filem A Little War of Our Own (2011). Filem itu mengenai seorang sheriff tempatan yang perlu menjaga bandarnya daripada kemusnahan sewaktu Perang Dunia Kedua berlaku.
Selain bergelar pelakon dan pengarah filem, Costner juga merupakan seorang penyanyi, pemuzik dan penerbit.
Perang 'Universal'?
Sebelum mengarahkan filem A Little War of Our Own (2011), Costner atau nama sebenarnya Kevin Michael Costner 'bergaduh besar' dengan pihak Studio Universal Pictures mengenai filem arahannya For Love of Game (2009).
Pergaduhan itu berlaku disebabkan Costner tidak berpuas hati dengan pemotongan babak bogel dan mengetepikan kata-kata makian dalam dua babak filem berkenaan.
"Bagi Universal, mereka sering mengukur dan mengutamakan tahap pencapaian sesuatu hasil karya itu.
"Tetapi, mereka tidak pernah mempersoalkan isi kandungannya," kata Costner.
Selain itu, pelakon yang cukup terkenal dengan sifat panas baran ini juga mendakwa pihak studio Universal enggan membuat filem bersamanya lagi.
"Studio tidak pernah menghubungi saya. Mereka tidak mahu bercakap dengan saya.
"Saya juga memutuskan tidak mahu membuat filem bersama mereka.
"Saya tidak akan maafkan dan melupakan apa yang mereka telah lakukan," katanya.
Malah, aktor itu turut mengakui bahawa dia tidak ada rakan perniagaan filem yang benar-benar memahaminya. Dalam For Love of The Game, dia berlakon sebagai bintang bola lisut yang mempunyai hubungan dengan seorang wanita.
Jadi ejen rahsia
Dalam perkembangan terbaharunya, Costner bakal muncul dalam filem baharunya, 3 Days To Kill yang bakal ditayangkan pada 27 Februari ini di pawagam seluruh negara.
Selain Costner, filem yang diarah oleh Joseph McGinty Nichol ini turut dibintangi Amber Heard, Hailee Steinfeld, Connie Nielsen dan Richard Sammel.
Dalam pada itu, Costner juga mengakui cukup selesa berlakon di samping pelakon cantik, Heard.
“Heard berkebolehan. Ia merupakan satu pengalaman yang paling menarik.
"Dia adalah wanita cantik yang bijak dan mahir dalam seni mempertahankan diri," katanya.
Filem ini mengisahkan seorang ejen Perkhidmatan Rahsia telah ditawarkan satu tugasan terakhir.
Dia menerima tawaran itu dengan harapan untuk bersara dan menanggung rawatan perubatan keluarganya sekali gus cuba memulihkan hubungannya dengan anak perempuannya yang renggang.
|
|