|
KOTA BHARU - Seorang penganggur berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki 8 gram heroin, bulan lalu.
Mohd Shahzila Shamsudin, 26, didakwa memiliki dadah berkenaan pada jam 9 pagi, 18 Jun, di rumah tanpa nombor di Kampung Tualang Tinggi, Pasir Puteh.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga sebatan tidak kurang 10.
Pada prosiding semalam, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan merayu supaya Hakim, Mohd Yusuff Yunus membenarkan jaminan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin tidak menawarkan jaminan berikutan tuduhan serius yang dihadapi. Kes bersambung 14 Ogos depan.
Sementara itu, pada tuduhan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, Mohd Shahzila turut menafikan tuduhan menyebabkan cedera ke atas dua beradik, Mohd Zamzuri Zakaria dan Ahmad Safian serta terhadap Mat Kelantan Mamat, 58, Mei lalu.
Dia juga tidak mengaku dituduh memiliki senjata pisau di sebuah rumah di kampung sama, 18 Jun. Kes berkenaan bersambung 4 dan 29 Julai.
• Petikan Berita Online •
|
|