
PADAH: Lelaki terbabit berjaya dikesan dan ditahan di rumahnya untuk siasatan lanjut.
TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas mengamuk, merosakkan harta benda dan mengugut ibunya untuk membakar rumah dalam kejadian di Kampung Langsat, Merotai Besar, di sini, semalam.
Kejadian berlaku ketika suspek berusia 25 tahun berada di rumah sebelum bertindak agresif dengan memukul adiknya serta merosakkan barangan di dalam kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, suspek turut mengeluarkan ugutan terhadap ibunya dengan kata-kata mahu membakar rumah, menyebabkan wanita itu bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarga lain.
“Berikutan laporan dibuat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan serta menahan suspek di kawasan sama kejadian berlaku.
“Semasa penahanan, polis turut merampas sebilah pisau panjang kira-kira 28 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk mengugut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan sekiranya berdepan situasi mengancam keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|