Trend warga asing salah guna pas lawatan sosial meningkat
Noorazura Abdul Rahman - Februari 7, 2026 @ 4:15pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bercakap kepada media selepas meninjau tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Pihak berkuasa mengesan peningkatan kes salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing di negara ini sekali gus mendorong penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan dan dasar berkaitan.
Trend kesalahan berkenaan menunjukkan sedikit peningkatan walaupun tidak ketara dan perkara itu telah dibincangkan dalam dua mesyuarat Jemaah Menteri terakhir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menyelaras tindakan lanjut.
"Malaysia mengalu-alukan kedatangan pelancong namun mereka mesti menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini.
"Negara kita terbuka menerima pelawat dari seluruh dunia untuk bekerja, melancong atau berniaga.
Namun setiap individu mesti mempunyai pasport dan pas yang sah.
"Jika masuk menggunakan pas sosial, mereka tidak dibenarkan bekerja atau berniaga.
Hal ini juga diamalkan di negara lain," katanya selepas melawat tapak projek Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar di sini hari ini.
Semalam media melaporkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna pas lawatan sosial serta lambakan barangan di pasaran.
Pasukan itu akan membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN menerusi Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan (AKPS) mendapati pelbagai kes pelanggaran undang-undang termasuk masuk tanpa dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa.
Sebagai contoh katanya, terdapat kes pelancong yang masuk ke negara ini, mengambil tempahan perabot atau hiasan dalaman, kemudian kembali ke negara asal untuk menyiapkan tempahan sebelum datang semula menawarkan harga lebih murah.
"Perkara ini memberi kesan kepada peniaga tempatan.
Oleh itu, hala tuju ke hadapan ialah tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
"Sekiranya tangkapan dibuat, akta sedia ada akan digunakan sepenuhnya dan proses undang-undang akan dilaksanakan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1506560/trend-warga-asing-salah-guna-pas-lawatan-sosial-meningkat
|