Kuala Lumpur: Sembunyi di dalam ladang getah bagi mengelak dikesan.
Itu antara taktik sindiket penyeludupan pelbagai spesis kura-kura yang ditumpaskan pihak berkuasa di Kangar, Perlis, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu berjaya dibongkar hasil operasi bersepadu membabitkan Anggota Wildlife Crime Bureau (WCB) PERHILITAN bersama pasukan Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di beberapa lokasi di Perlis.
.
Beliau berkata, hasil serbuan dilakukan itu, pihaknya berjaya merampas puluhan ekor kura-kura pelbagai spesies, telur hidupan liar serta barangan berkaitan aktiviti haram itu.
Menurutnya, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diketuai pegawainya Celescoriano Razond itu adalah hasil risikan rapi dan maklumat awam dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
"Serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 12.35 tengah hari semalam di sebuah rumah di Jalan Seri Satu, Taman Perlis, Kangar.
"Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan ketika membawa lima kotak mengandungi enam ekor kura-kura spesis Sulcata Tortoise tanpa sebarang lesen atau dokumen sah.
"Hasil pemeriksaan lanjut membawa pasukan serbuan ke sebuah bangsal tersembunyi di kawasan Kaki Bukit, Perlis, yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan utama hidupan liar," katanya.
Di lokasi itu, pihak berkuasa menahan dua lelaki dan menemui lebih 40 ekor kura-kura pelbagai spesies termasuk Sulcata Tortoise, Indian Star Tortoise, Burmese Star Tortoise, Leaf Turtle, Black Marsh Turtle, selain baning, lima unit sarang burung tempua, serta 13 biji telur kura-kura.
"Turut ditemui seekor kura-kura dalam keadaan mati.
"Dalam pemeriksaan susulan di sebuah rumah lain di Batu 16, Kaki Bukit, pihak berkuasa turut merampas 15 siung babi hutan, sekali gus membuktikan pembabitan suspek dalam aktiviti jenayah hidupan liar berskala besar.
"Seramai tiga lelaki tempatan ditahan dan rampasan hidupan liar bernilai hampir RM287,395.
Kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah menyimpan haiwan itu mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.
Kadir berkata, operasi ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah hidupan liar yang semakin berani dan terancang.
"PERHILITAN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas khazanah alam negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ketiga-tiga suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut, manakala polis turut menemui beberapa jenis dadah dalam operasi sama.