Kota Tinggi: Kehidupan harian penduduk di sekitar lokaliti yang terbabit dengan kluster Tuberkulosis (tibi) di daerah ini berjalan seperti biasa, dengan orang ramai mengamalkan langkah berjaga-jaga
Seorang penduduk Felda Papan Timur, Normah Muhamad, 51, berkata dia yang mengusahakan kedai makan di Medan Selera Hentian Bandar Mas di sini, dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
Katanya, perniagaannya tidak terjejas walaupun ada nasihat dari pihak berkuasa supaya mengehadkan pergerakan harian, jika tiada keperluan.
"Tular yang kata keadaan di sini sampai ada kematian yang banyak itu tidak betul. Keadaan yang terkesan itu dalam Felda Sungai Mas, tetapi kami di kawasan sekitar kena berjaga-jaga sahajalah.
"Memang ada orang luar tanya macam-macam bila isu ini tular. Kita nak cakap macam mana, sebab kita di sini 'okay' sahaja, boleh berniaga seperti biasa," katanya.
Tinjauan di Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur di sini, mendapati kehidupan harian penduduk berjalan seperti biasa.
Beberapa penduduk dilihat memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga.
Turut kelihatan, terdapat papan digital memaparkan maklumat berkaitan tibi di laluan utama Felda Sungai Mas dan langkah penjagaan kesihatan yang perlu diambil.
Penduduk Felda Sungai Mas, Rahayu Musran, 45, pula berkata, dia mengambil langkah mengurangkan pergerakan anak-anaknya dan mengingatkan mereka supaya minum air masak dan menjaga kebersihan diri.
Bagaimanapun, ibu lima anak itu berkata, bagi anak yang bersekolah, dia masih membenarkan anaknya ke sekolah dengan penjagaan kebersihan yang rapi.
"Saya kerja macam biasa. Anak yang sekolah, saya suruh pergi sekolah sebab tiada penutupan. Ada cikgu beri murid penutup hidung dan mulut. Memang ada yang murid buat saringan, ada yang cuti.
"Cuma anak lain yang tiada keperluan untuk keluar, saya suruh mereka duduk rumah, tetapi, dalam rumah pun, saya suruh mereka jaga kebersihan. Banyakkan minum air masak.
"Pada yang mengalami simptom seperti batuk, mungkin mereka boleh ke klinik dengan segera untuk membuat saringan dan jika positif, boleh kuarantin di rumah, bagi mengelakkan menjangkiti orang lain," katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga kelmarin.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus pula dilaporkan berkata kluster terbabit membabitkan lokaliti Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur, yang mana semuanya berada dalam keadaan terkawal.
|