
Gambar fail
KUCHING: Kerangka pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP Sarawak) akan dikekalkan memandangkan pelaksanaannya perlu terus berada dalam lingkungan kelulusan perundangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam kenyataan semalam, menyatakan langkah mengekalkan kerangka sedia ada juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa.
“Ia selain itu bagi memastikan kesinambungan sistem yang telah mantap serta diterima secara umum oleh semua pihak terlibat.
“Walaupun terdapat cadangan daripada beberapa pihak supaya ia disemak semula, tetapi pelaksanaannya perlu terus berada dalam lingkungan kelulusan perundangan KPM,” kata kementerian hari ini.
Kementerian berkata, UP-DLP Sarawak merupakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan DLP di negeri ini, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penguasaan mata pelajaran teras dan kemahiran bahasa dalam kalangan pelajar.
MEITD berkata penilaian tersebut dilaksanakan selepas mendapat kelulusan rasmi KPM, Putrajaya, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang membolehkan Sarawak melaksanakan penilaian berasaskan negeri di bawah kerangka DLP Sarawak.
“Pembangunan dan pelaksanaan UP-DLP Sarawak melibatkan penyelarasan rapi pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, sekolah dan pendidik di seluruh negeri.
“Selain itu, turut terlibat ialah Swinburne Innovation Malaysia Sdn Bhd (SWIM) sebagai agensi pelaksana, institusi rakan strategik i-CATS University College dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), selain agensi peperiksaan, keselamatan dan logistik, ibu bapa serta pelajar,” tegasnya.
Kementerian menjelaskan, walaupun berdepan kekangan dari segi peraturan dan operasi, UP-DLP Sarawak berjaya dilaksanakan sepenuhnya mengikut standard peperiksaan kebangsaan serta keperluan KPM, sekali gus menjamin kredibiliti, pengiktirafan dan kesinambungan akademik pelajar.
Katanya, persiapan menyeluruh turut dilaksanakan merangkumi penyediaan garis panduan, penubuhan jawatankuasa pelaksana, penguatkuasaan protokol keselamatan peperiksaan yang ketat, sesi taklimat di peringkat negeri, pendaftaran dalam talian, penyediaan dan tapisan soalan, percetakan, pengedaran, penyeliaan serta proses pemarkahan.
“Operasi logistik dan keselamatan berjaya dilaksanakan di seluruh Sarawak, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman, hasil kerjasama kukuh antara agensi, dengan keselamatan pelajar dan integriti peperiksaan diberikan keutamaan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pengenalan semula penilaian berpusat Tahun 4 mulai 2026 serta penerusan penilaian di peringkat Tingkatan 3 dilihat mengukuhkan semula peranan penilaian piawai dalam memastikan keadilan, kebolehbandingan serta jaminan kualiti pendidikan di peringkat nasional.
Dalam konteks ini, UP-DLP Sarawak dilihat sebagai inisiatif awal yang selari dengan MA63, dilaksanakan dengan kelulusan Kementerian Pendidikan, di samping mencerminkan aspirasi Sarawak dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri tanpa menjejaskan keselarasan dengan kerangka pendidikan negara.
“Kejayaan pelaksanaan UP-DLP Sarawak turut membuktikan kematangan tadbir urus, keupayaan teknikal serta kesiapsiagaan institusi pendidikan Sarawak dalam mengendalikan penilaian piawai secara tersusun dalam kerangka nasional,” tegas MEITD.
Sumber : Utusan Borneo
|