
Gambar semasa operasi dijalankan pada Selasa. - Gambar Facebook JIM Sarawak
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan seramai 57 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini pada Selasa.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi tersebut melibatkan seramai 28 pegawai penguat kuasa yang digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing di beberapa lokasi tumpuan.
“Operasi ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak imigresen bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta mengekang kehadiran warga asing yang tidak mematuhi syarat ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Operasi berkenaan memfokuskan pemeriksaan di 19 lokasi strategik termasuk premis makanan dan minuman di Pusat Perniagaan MetroCity serta Pusat Perniagaan MJC, Batu Kawa.

Gambar semasa operasi dijalankan pada Selasa. - Gambar Facebook JIM Sarawak
Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di beberapa premis sekitar Batu 7 dan Jalan Kuching-Serian.
“Pasukan penguat kuasa juga melakukan serbuan di sebuah tapak pembinaan di Kampung Stakan Melayu bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan berkaitan penggajian warga asing,” katanya.
Tambahnya, semua warga asing yang ditahan akan disiasat bagi mengenal pasti status dokumen perjalanan dan permit kerja mereka mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM Sarawak menegaskan operasi penguatkuasaan seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan ketenteraman awam serta pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
Sumber : Utusan Borneo
|