|
|
KLANG: Anakanda sulung Sultan Selangor, Tengku Zerafina Sultan Sharafuddin Idris Shah mendahului senarai 98 penerima darjah dan pingat kebesaran pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin ke-80, di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Tengku Zerafina menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Selangor, Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati iaitu Darjah Kerabat Kedua (DK II).
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengasas yang juga Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah Fook Ling.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mazlan Mansor yang kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS); Pengarah Eksekutif, YTL Corporation Berhad, Datuk Mark Yeoh Seok Kah dan Perunding Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Subang Jaya, Datuk Dr Anuar Onah.
Seramai 16 individu dikurniakan Darjah Kebesaran - Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli; EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr Haniff Zainal Abidin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Dr Jafri Abu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail antara 17 penerima Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk.
Penerima lain antaranya Orang Besar Istana, Tengku Seri Perkasa Diraja Tengku Musahiddin Shah; Imam Masjid Istana Diraja Klang, Mohd Rasid Mahful; Juruiring Polis Kepada Sultan Selangor, Superintendan Ahmad Rohisham Ahmad dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK), K Subramaniam.
Atlet bina badan negara, Ahmad Faiz Ariffin dikurniakan pingat Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) tetapi penerima Darjah Kebesaran ini tidak berhak menggunakan apa-apa gelaran.
Empat individu yang terbabit secara langsung dalam Operasi Putra Heights antara 10 penerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) yang tidak membawa apa-apa gelaran iaitu Pegawai Daerah dan Tanah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed; Timbalan Ketua Jabatan KDNKA Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Superintendan Kee Hang Kee; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Timbalan Pesuruhjaya (PA) Ghazali Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim.
Sementara itu, dua individu yang terbabit secara langsung dalam Operasi Putra Heights antara 10 penerima Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) yang tidak membawa apa-apa gelaran iaitu Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superintendan Wan Azlan Wan Mamat dan Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Khairul Azuwan Ibrahim.
Empat lagi individu yang terbabit secara langsung dalam Operasi Putra Heights antara 15 penerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) yang tidak membawa apa-apa gelaran iaitu Ketua Zon 2 Selangor (Petaling) JBPM Selangor, Wan Syariman Wan Saleh; Ketua Zon 4 Selangor (Hulu Langat) JBPM Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof; Penolong Pengarah JBPM Selangor, Farid Asyhadi Assaad dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan), Ahmad Azri Zainal Nor.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin ke Balairung Seri Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

|
|