Hakim Danish kutip 17 mata di Litar Catalunya
Oleh Khairil S Iswan - November 3, 2025 @ 5:12pm

Hakim Danish (kiri) ketika perlumbaan di Sepanyol. - Foto ZK Racing
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan semangat juang tinggi apabila mengutip 17 mata berharga pada pusingan keenam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2025 di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.
Keputusan itu membolehkan pelumba berusia 18 tahun itu meraih momentum positif menjelang pusingan penutup kejuaraan musim ini selain penampilan keduanya di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 di Portugal, minggu ini.
Pada Perlumbaan 1, pelumba kelahiran Terengganu yang membawa cabaran pasukan SIC Racing MSI berdepan tugas sukar sejak sesi kelayakan apabila terpaksa memulakan Perlumbaan 1 dari petak ke-14 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Persembahannya tampak meningkat apabila berada dalam kelompok hadapan sepanjang perlumbaan sebelum terpaksa akur apabila dipintas pelumba tuan rumah, Joel Esteban, pada pusingan terakhir.
Aksi lebih bertenaga dipamerkan pada Perlumbaan 2 apabila pelumba muda itu yang bermula dari petak ke-13 menunjukkan kebangkitan untuk melonjak sehingga ke kedudukan kedua pada satu ketika.
Bagaimanapun, saingan sengit di pusingan akhir menyaksikan dia dipintas oleh beberapa pelumba lain sebelum insiden kemalangan pada pusingan terakhir memaksa perlumbaan dihentikan susulan kibaran bendera merah.
Ketika perlumbaan dihentikan, Hakim Danish berada di kedudukan kesembilan. Tetapi keputusan rasmi kemudian mengesahkan kedudukannya di tempat keenam yang membolehkannya menambah 10 lagi mata kejuaraan berharga.
"Pusingan keenam JrGP benar-benar mencabar buat saya. Perlumbaan 2 memang luar biasa dengan semua pelumba tampil agresif, termasuk saya sendiri. Tetapi kami semua benar-benar menikmati aksi di litar ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/11/1467143/hakim-danish-kutip-17-mata-di-litar-catalunya
|