Norris ungguli GP Mexico kembali pimpin kejuaraan
Oktober 27, 2025 @ 7:45am

Pemandu McLaren dari Britain, Lando Norris menjulang trofi kejuaraan di podium selepas menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu Mexico di Autodromo Hermanos Rodriguez, Mexico City. – Foto AFP
MEXICO CITY: Lando Norris kembali mendahului kejuaraan pemandu dunia buat kali pertama dalam tempoh enam bulan selepas memenangi Grand Prix Mexico dengan penuh bergaya, awal pagi tadi.
Pemandu McLaren berusia 25 tahun itu tampil dominan dari mula hingga akhir, menamatkan perlumbaan 30.324 saat di depan Charles Leclerc dari Ferrari, manakala juara dunia empat kali, Max Verstappen melengkapkan podium buat Red Bull.
Kemenangan sulungnya di Mexico juga merupakan kemenangan keenam musim ini dan ke-10 sepanjang kariernya - satu perlumbaan hampir sempurna dari petak utama yang melonjakkan semula Norris ke puncak kejuaraan dengan kelebihan satu mata, kali pertama sejak Grand Prix Arab Saudi pada April lalu.
Dengan berbaki empat perlumbaan musim ini, Norris kini mengumpul 357 mata, mendahului rakan sepasukannya Oscar Piastri (356 mata) dan Verstappen di tempat ketiga dengan 321 mata.
"Kemenangan yang amat indah untuk diraikan di stadium ini di Mexico," kata Norris.
"Saya hadapi satu hujung minggu pada satu masa. Saya gembira dan fokus dengan diri sendiri. Saya hanya kekal tenang dan tidak terlalu fikirkan perkara lain...
"Saya cuma relaks dan itu banyak membantu. Ia beri saya permulaan yang baik dan itu perkara paling penting."
Leclerc yang meraih podium ketujuh musim ini pula berkata: "Saya amat gembira dengan hujung minggu ini. Kami tidak tahu apa yang dijangka di sini, jadi berada di podium satu kejutan yang manis."
Bagi Verstappen, keputusan itu menamatkan rentetan cemerlangnya memenangi tiga daripada empat perlumbaan terakhir.
"Ia sangat huru-hara di permulaan dan saya hampir terbabit dengan kemalangan. Jadi dapat bersaing untuk tempat kedua dengan semua yang berlaku itu sudah cukup baik," katanya.
Pelumba muda Haas, Oliver Bearman menamatkan saingan di tempat keempat - keputusan terbaik dalam kariernya - di depan Piastri dan pemandu rookie Mercedes, Kimi Antonelli.
Rakan sepasukan Antonelli, George Russell berada di tempat ketujuh diikuti juara tujuh kali, Lewis Hamilton dari Ferrari, sementara Esteban Ocon (Haas) dan Gabriel Bortoleto (Sauber) melengkapkan kelompok 10 terbaik. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/10/1463850/norris-ungguli-gp-mexico-kembali-pimpin-kejuaraan
|