
ISTANBUL: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pada Rabu bahawa rejim Israel diwajibkan di bawah Konvensyen Geneva untuk mempersetujui dan memudahkan skim bantuan yang disediakan negara ketiga dan kumpulan kemanusiaan yang tidak berat sebelah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut ICJ, skim bantuan ini termasuk Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), bagi memastikan bantuan yang mencukupi sampai ke Semenanjung Gaza.
Dalam pendapat terperinci yang dikeluarkan, mahkamah dunia itu menekankan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan, memikul kewajiban tanpa syarat untuk memastikan keperluan asas penduduk tempatan dipenuhi.
Ia mendapati bahawa penduduk Gaza telah tidak dibekalkan secara memadai di bawah Perkara 59 Konvensyen Geneva Keempat, dan oleh itu Israel mesti membenarkan dan membantu operasi bantuan kemanusiaan.
Mahkamah itu menyatakan bahawa selepas peristiwa 7 Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 68,000 penduduk Palestin dalam tempoh dua tahun berikutnya dan mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan bantuan, termasuk menyekat penghantaran bekalan kemanusiaan dan perubatan bermula 2 Mac, serta hanya membenarkan kemasukan terhad mulai 19 Mei.
Menolak dakwaan Israel bahawa kakitangan UNRWA mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata, mahkamah menyatakan bahawa Israel tidak mengemukakan bukti kukuh bahawa sebahagian besar kakitangan UNRWA adalah ahli Hamas atau apa yang disebutnya sebagai 'kumpulan pengganas lain'.
Mahkamah turut mendapati tiada bukti bahawa UNRWA mendiskriminasi dalam pengagihan bantuan berdasarkan kewarganegaraan, kaum, agama atau pandangan politik.
“Kuasa pendudukan tidak boleh sama sekali menggunakan alasan keselamatan untuk membenarkan penggantungan umum terhadap semua aktiviti kemanusiaan di wilayah yang diduduki,” kata mahkamah, sambil menegaskan bahawa kewajipan Israel untuk memudahkan bantuan adalah “tanpa syarat.”
Mahkamah itu turut menegaskan semula bahawa undang-undang pendudukan terpakai bersama undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang mengawal konflik bersenjata, dan Israel mesti mematuhi kedua-dua set kewajipan tersebut.
Sementara itu di GENEVA, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada lewat Rabu berkata pihaknya telah melaksanakan pemindahan perubatan pertama dari Gaza sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, dengan memindahkan 41 pesakit tenat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam hantaran di platform X Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, operasi itu menandakan penyambungan semula pemindahan menyelamat nyawa yangtertangguh selama beberapa bulan akibat peperangan sengit oleh Israel.
“WHO hari ini mengetuai pemindahan perubatan 41 pesakit kritikal bersama 145 pengiring keluar dari Gaza, yang pertama sejak gencatan senjata,” tulisnya.
Tedros berkata, kira-kira 15,000 pesakit masih menunggu kelulusan untuk menerima rawatan perubatan di luar Gaza, sambil menegaskan bahawa ramai masih memerlukan rawatan segera yang tidak dapat diperoleh di kemudahan kesihatan wilayah itu yang rosak.
“Kami terus menyeru negara-negara agar menunjukkan solidariti dan membuka semua laluan bagi mempercepatkan pemindahan perubatan,” tambahnya.
|