Detik cemas jurukamera hampir dirempuh motosikal terbang di MotoGP Hungary
Ogos 25, 2025 @ 9:26am

Jentera Red Bull KTM pelumba Sepanyol, Pedro Acosta menghentam kamera di tepi litar ketika sesi kelayakan MotoGP Hungary di Balatonfokajar, kelmarin. – Foto MotoGP
BALATONFOKAJAR, Hungary: Seorang jurukamera TV berdepan detik cemas apabila hampir dirempuh motosikal yang terpelanting dari litar ketika sesi kelayakan Grand Prix MotoGP Hungary, kelmarin.
Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta terbabas ketika menunggang jentera Red Bull KTM miliknya sebelum motosikal itu meluncur di atas trek dan melambung ke arah menara kamera berhampiran.
Jurukamera yang sedang merakam aksi di bahagian lain litar itu sempat mengelak sebelum motosikal itu menghentam peralatan kameranya.
Mujur dia terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Akaun rasmi MotoGP di platform X turut memuat naik rakaman insiden itu dengan kapsyen: "Jurukamera kami, Joao mengelak hentaman motosikal Pedro Acosta mungkin video paling mengejutkan anda akan lihat hari ini! Kami berasa amat lega beliau selamat!"
Rakaman itu pantas tular dan mengejutkan peminat sukan permotoran.
Jurukamera berkenaan, Joao dengan tenang hanya memberi isyarat ibu jari dan kembali meneruskan tugasnya.
Acosta, yang juga pelumba kegemaran ramai, segera memeriksa keadaan Joao selepas insiden dan sempat memeluknya sambil bergurau: "Saya nampak anda lebih baik sekarang berbanding ketika ia berlaku."
Joao membalas: "Ya, saya nampak anda memandang ke atas tadi."
Acosta menjawab: "Ya, motosikal itu terbang agak tinggi. Jadi awak betul-betul okay?"
Joao mengangguk: "Ya, ya. Motosikal itu tidak kena saya, cuma terkena kamera, nasib baik."
Joao kemudian menambah: "Tidak mengapa, kamera boleh dibaiki." – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/08/1437610/detik-cemas-jurukamera-hampir-dirempuh-motosikal-terbang-di-motogp
|