|
KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan K-Clique, Noki menepis dakwaan kononnya dirinya tidak sihat susulan kelihatan semakin kurus, sebaliknya mengakui penurunan berat badan dilakukan atas permintaan ramai dan tuntutan kerjaya.
Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 31, berkata sepanjang beberapa bulan lalu, berat badannya susut sebanyak 15 kilogram (kg) hingga kini mencecah 75kg.
"Ramai kata saya lebih sesuai dengan saiz badan yang kecil. Kawan-kawan pun cakap nampak lebih baik begini. Jadi saya turunkan berat badan, walaupun sebenarnya saya lebih selesa berbadan besar sekitar 85kg.
Tambah Noki, usaha menurunkan berat badan bermula sejak penggambaran filem Game Of Life arahan Syafiq Yusof yang menuntut dirinya tampil lebih kecil.
"Dulu berat saya 90kg, jadi untuk filem itu saya mula turunkan berat. Saya pun tak boleh terlalu kurus kerana bimbang nampak tidak sihat. Berat sekarang lebih sesuai dengan ketinggian saya.
"Malah ada tawaran baharu yang meminta saya tidak terlalu berisi, jadi saya perlu kekalkan bentuk badan sekarang. Saya jenis mudah turun naik berat, jadi tak susah menyesuaikan diri dengan watak. Kalau perlu botakkan kepala sekali pun, saya sanggup," katanya.
Noki berkongsi perkara itu ketika menjalani sesi fotografi drama terbaharunya, Dear Farris, yang menampilkan gandingan sulungnya bersama pelakon Siti Hariesa. "Alhamdulillah, kami cepat dapat keserasian. Hero dan heroin kena ada 'chemistry' dan dia pandai wujudkan itu.
"Saya pula bukan mudah untuk selesa dengan pelakon wanita. Malah sebelum ini saya pernah nyatakan enggan berlakon bercinta. Tapi syukur kali ini, kami cepat serasi. Di set, kami banyak bergurau sampai rasa macam sudah lama kenal," katanya.
BH
|