Johnny Lim 'anak Cina' pertama naik pangkat Leftenan Jeneral ATM
Raja Noraina Raja Rahim - Jun 24, 2025 @ 1:36pm

Sepanjang perkhidmatan, Johnny Lim pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di PULADA, Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat. - Foto ihsan ATM
KUALA LUMPUR: Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pemakaian pangkat disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Wisma Pertahanan di sini, semalam.
Johnny yang berasal dari Melaka mengikuti latihan Pegawai Kadet melalui Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, seterusnya ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).
Beliau graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, selain turut memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan serta Sepanyol.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.
ATM menerusi kenyataan memaklumkan, kenaikan pangkat itu menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa dalam perkhidmatan.
"Ini juga diharapkan dapat menarik minat bangsa lain untuk turut menceburkan diri dalam kerjaya keramat ini.
"ATM seharusnya dilihat sebagai contoh terbaik konsep 'Unity in Diversity' dan menjadi platform utuh di dalam erti kata perpaduan yang sebenarnya," kata kenyataan itu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/06/1411938/johnny-lim-anak-cina-pertama-naik-pangkat-leftenan-jeneral-atm
|