Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 yang disambut hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda mengucapkan terima kasih atas pengorbanan, keberanian dan dedikasi semua anggota bomba.
"Anda adalah wira yang sentiasa bersedia menghadapi bahaya demi keselamatan masyarakat.
"Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada," titah Seri Paduka Baginda.
Hari Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun adalah acara simbolik untuk memperingati dan menghargai pengorbanan serta khidmat yang dicurahkan anggota bomba di seluruh dunia.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiktiraf komitmen tinggi dan disiplin luar biasa yang menjadi kekuatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selama ini.
Bersempena Hari Bomba Sedunia 2025 yang disambut hari ini, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada seluruh warga JBPM, perwira yang tidak mengenal siang dan malam dalam menjalankan amanah mereka.
"Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan. Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini "Bomba Tonggak Penyelamatan Negara", Ahmad Zahid berkata tanpa warga JBPM, keselamatan awam dan ketenteraman negara tidak akan terpelihara.
"Terima kasih saya ucapkan atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja yang ditunjukkan saban waktu. Semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia ini," katanya.