CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 372|Reply: 0

Jangan ambil mudah gejala sakit sendi

[Copy link]
Post time 24-4-2025 12:46 PM | Show all posts |Read mode


ADA beranggapan sakit sendi hanyalah sebahagian daripada proses penuaan, sekali gus mengabaikan artritis reumatoid (RA) sebagai antara penyebabnya.


RA adalah penyakit autoimun kronik yang boleh mempengaruhi individu di setiap peringkat usia, dan bukan hanya orang yang lebih tua.


Pakar Perunding Rheumatologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Cheah Chee Ken, berkata kesedaran mengenai RA masih terhad, dan banyak kes yang tidak didiagnosis atau didiagnosis dengan salah.


Secara umum, RA dijelaskan sebagai radang autoimun iaitu sistem imun tubuh menyerang sendi.


"Individu dengan kecenderungan genetik atau mereka yang mengalami trauma fizikal, seperti kemalangan kereta, mungkin lebih terdedah kepada aktiviti imun yang tidak normal, menyebabkan keradangan di lapisan sendi, yang dikenali sebagai sinovium.


"Keradangan ini boleh mencetuskan gejala seperti sakit sendi, bengkak dan kekakuan pada waktu pagi," kata Dr Chee Ken.


Beliau berkata, memandangkan pencetus RA masih dalam kajian, beberapa faktor dikenal pasti boleh meningkatkan risiko.




Katanya, kebarangkalian wanita untuk mendapat penyakit ini adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada lelaki .


Menurutnya lagi, selain jantina dan sejarah keluarga, RA turut dipengaruhi epigenetik, hormon, reproduktif dan neuroendokrin selain faktor persekitaran atau berkaitan gaya hidup seperti merokok, pendedahan kepada asap rokok pasif, agen udara atau berjangkit, tabiat kebersihan mulut yang buruk, periodontitis kronik serta jangkitan gusi.


Beliau berkata, RA boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tetapi ia paling kerap terjadi pada usia antara 30 hingga 50 tahun.


Selain itu, katanya perokok dan individu obesiti berisiko lebih tinggi untuk mendapat RA dan cenderung memberi respons yang kurang efektif terhadap rawatan.


"Hidup dengan RA memerlukan pengurusan sepanjang hayat, kerana pada masa ini tiada penawar yang dapat mengubatinya.


"Pengurusan RA mungkin merangkumi pengambilan ubat-ubatan, terapi fizikal, dan adakala memerlukan pembedahan untuk menggantikan lutut atau pinggul.


"Rawatan ini boleh menelan perbelanjaan perubatan yang tinggi serta membebankan kewangan keluarga, terutamanya jika pesakit atau penjaga terpaksa mengurangkan waktu kerja mereka atau berhenti sepenuhnya," katanya.


Selain itu, katanya sifat RA yang sukar dijangka, termasuk suar (flare-up) muncul dengan tiba-tiba dan potensi untuk mengalami kecacatan jangka panjang juga boleh memberi kesan kepada psikologi.


"Kesihatan mental pesakit dan keluarga juga akan sering tercabar, contohnya mengalami kebimbangan atau kemurungan. Justeru, mereka memerlukan sokongan emosi dan pendidikan untuk lebih memahami serta menguruskan RA.


"Terdapat juga kumpulan sokongan seperti Persatuan Artritis Malaysia (AFM) yang menawarkan jaringan sokongan penting. Individu boleh berkongsi pengalaman, nasihat praktikal, serta mendapat dorongan bagi membantu mereka mengatasi beban fizikal dan emosi dalam menghadapi keadaan ini," kata Dr Chee Ken.


Beliau berkata, terdapat pelbagai mitos mengenai RA yang boleh melambatkan diagnosis dan rawatan. Ini termasuk salah faham kepada pendedahan cuaca sejuk, persekitaran atau air yang dikatakan, boleh memburukkan lagi keadaan RA.


Namun begitu, tiada bukti yang dapat menyokong kenyataan ini.


"Pada masa sama, mungkin ada pesakit yang beralih kepada perubatan alternatif kerana khuatir rawatan konvensional boleh menyebabkan kesan sampingan atau bertoksik.


"Akibatnya, mereka mengelak mendapatkan nasihat perubatan pada peringkat awal, sekali gus berpotensi memburukkan lagi keadaan.


"Walaupun RA boleh diurus dengan berkesan dalam jangka panjang, dan sebahagian pesakit mungkin mencapai remisi tanpa ubat jika dirawat dalam tempoh kritikal antara tiga hingga enam bulan selepas gejala bermula, pada masa ini masih tiada kaedah penyembuhan yang pasti untuk penyakit ini," jelas Dr Chee Ken.


Beliau menegaskan, jika tidak diurus dengan betul, RA boleh menyebabkan komplikasi yang tidak boleh dipulihkan, serta mempengaruhi sendi dan bahagian lain tubuh seperti paru-paru, jantung, mata, bahkan tulang belakang, yang boleh menyebabkan masalah mobiliti.


Berbeza dengan penyakit lain, katanya diagnosis RA adalah mencabar kerana kekurangan ujian tertentu sehingga menjadikan proses ini lebih kompleks.


"Tanda dan gejala awal RA sering menyerupai penyakit lain, yang boleh menyebabkan kelewatan dan kesukaran dalam membuat diagnosis yang tepat.


"Disebabkan kerumitan ini, kami akan membangunkan gabungan pendekatan bermula dengan sejarah terperinci pesakit yang merangkumi permulaan gejala, perkembangan penyakit, dan sebarang gejala berkaitan RA.


"Ia diikuti dengan pemeriksaan fizikal untuk mengesan tanda-tanda khas keadaan ini seperti kesakitan sendi, bengkak, kekakuan, atau pergerakan terbatas. Selain itu, pengimejan ultrasound muskuloskeletal juga akan dilakukan untuk mengenal pasti keradangan, kerosakan sendi, keadaan lapisan sinovial, dan kehadiran efusi sendi," katanya.


INFO:


Rawatan pesakit artritis reumatoid (RA)


- Pada peringkat awal RA, pesakit biasanya akan menerima ubat antiradang, sama ada ubat tahan sakit bukan steroid atau rawatan steroid, untuk meredakan keradangan dengan cepat.


- Bagi mengubah perkembangan RA, ubat-ubatan yang memodifikasi penyakit (DMARDs) adalah penting. Ia boleh dibahagikan kepada DMARDs sintetik konvensional atau DMARDs biologi.


- Pesakit yang didiagnosis awal sering memberi respons lebih baik kepada DMARDs sintetik konvensional manakala penyesuaian mungkin diperlukan bagi mereka yang tidak memberi respons dengan baik terhadap rawatan.


- Rawatan boleh merangkumi terapi lanjutan seperti DMARDs biologi dan molekul kecil oral.


- Terapi lanjutan ini menyasarkan molekul radang tertentu yang terlibat dalam aktiviti RA, sekali gus menawarkan keberkesanan lebih baik dan kesan sampingan lebih sedikit berbanding, rawatan tradisional. - BH ONLINE


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 07:33 AM GMT+8 , Processed in 0.488931 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list