CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 445|Reply: 0

Kudis api mudah berjangkit, merebak

[Copy link]
Post time 12-4-2025 06:12 PM | Show all posts |Read mode


MENJAGA kebersihan amat penting terutama pada permukaan kulit supaya dapat mengelak daripada sebarang penyakit terutama bawaan bakteria seperti impetigo.

Impetigo atau turut dikenali sebagai kudis api, sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak lingkungan dua hingga lima tahun namun juga boleh menyerang golongan dewasa.

Penyakit kulit itu walaupun tidak berbahaya, masih perlu dirawat kerana bimbang merebak ke kawasan kulit di sekitar atau kepada individu lain.

Dalam kes teruk, kuman boleh memasuki sistem peredaran darah dan menyebabkan septicemia yang boleh menjangkiti organ lain dalam darah.


Pakar Perunding Dermatologi, Jabatan Perubatan Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HCTM), Dr A Mohan, berkata impetigo adalah jangkitan bakteria yang disebabkan bakteria Staphylococcus aureus dan Streptococcus pyogenes.

Katanya, terdapat dua jenis penyakit itu iaitu impetigo tanpa lepuh yang bermula sebagai benjolan merah yang gatal dan sakit, lalu menghasilkan nanah serta membentuk kerak kuning keemasan.

Satu lagi jenis katanya, impetigo berlepuh yang membentuk lepuhan berisi cecair berwarna jernih, kuning atau berdarah sedikit dan apabila pecah ia meninggalkan kerak kuning keemasan.

"Impetigo bukan penyakit berbahaya kerana boleh pulih dengan sendiri atau sembuh dengan rawatan antibiotik.

"Bagaimanapun, jika tidak dirawat, boleh merebak ke lapisan kulit yang lebih dalam dan menyebabkan selulitis atau jangkitan sistemik (bakteria masuk ke dalam darah) yang menjadi lebih serius," katanya kepada BH.

Menurut Dr Mohan, punca utama impetigo adalah kurang menjaga tahap kebersihan diri kerana penyakit itu mudah berjangkit dan merebak.

Katanya, penyakit ini biasa berlaku di bahagian tangan terlebih dahulu sebelum merebak ke bahagian anggota badan yang lain seperti kaki dan muka.

"Penyakit ini boleh berjangkit akibat sentuhan sebagai contoh tidak mencuci tangan dengan bersih, berkongsi tuala atau pakaian yang dipakai pesakit impetigo atau bersentuhan dengan barang-barang yang dipegang pesakit.

"Selain itu, boleh juga berpunca daripada jangkitan lain seperti ekzema (keadaan kulit yang kering dan gatal) kerana apabila digaru dan pesakit tidak membasuh tangan dengan bersih, boleh memindahkan bakteria lalu menyebabkan impetigo," katanya.



Penyakit itu sering melanda kanak-kanak kerana pada usia itu sistem imunisasi sedang berkembang dan mereka mudah terkena penyakit.

Kanak-kanak yang sudah dihantar ke tadika atau taska lebih mudah mendapat penyakit itu kerana sering diberikan aktiviti baharu yang menyebabkan mereka terdedah kepada bakteria tersedia ada dalam persekitaran.

Dr Mohan berkata, ada juga ibu bapa yang tidak sedar anak mereka mendapat penyakit berkenaan sehingga penyakit itu merebak.

"Penyakit ini mudah merebak dan jika tiada kesedaran menjaga kebersihan terutama kanak-kanak yang sudah ada penyakit kulit, ia lebih mudah menjangkiti mereka.

"Sebagai contoh ada aktiviti berkumpulan dan ada antara mereka yang sudah mendapat impetigo, melalui sentuhan sahaja ia boleh menjangkiti yang lain," katanya.

Oleh itu katanya, jika ibu bapa sedar ada kesan merah pada tangan anak mereka, perlu rawat segera supaya tidak merebak ke anggota badan lain.

Katanya, impetigo yang tidak dirawat, boleh menyebabkan penyakit itu masuk ke sistem peredaran darah seterusnya menyebabkan pesakit demam, badan rasa lemah dan tekanan darah turun.

"Jika sudah sampai di tahap itu, perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan seperti masuk air (IV drip) sehingga pesakit pulih.

"Selain itu, jika bakteria menembusi lebih dalam dari epidermis, boleh menyebabkan selulitis iaitu jangkitan kuman lebih serius.

"Oleh itu, ibu bapa jika mendapati ada satu atau dua kesan merah pada tangan anak, boleh sapu krim antibiotik dan penyakit boleh pulih dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu," katanya.



Bagaimanapun, beliau berkata jika mendapati kesan merah berkenaan sudah melebihi lima biji atau melarat di kawasan lain, perlu dibawa ke klinik.

Katanya, ini supaya rawatan dapat diberikan sekali gus mengelak daripada merebak ke bahagian lain atau merebak kepada orang lain.

"Perlu bawa anak periksa dengan pakar kerana bimbang disebabkan 'immunodeficiency' atau kekurangan sistem imun dan boleh lakukan rawatan sewajarnya," katanya.

INFO

Mengenai penyakit impetigo:

• Impetigo boleh menjangkiti pesakit berulang kali jika tahap kebersihan kulit tidak dijaga dengan sebaiknya.

• Jika terlalu kerap berlaku kepada anak, buat pemeriksaan terperinci dengan pakar kerana dibimbangi penyakit lain.

• Impetigo boleh dicegah dengan cara sentiasa menjaga kebersihan diri iaitu mencuci tangan selepas bermain atau menggaru badan serta tidak berkongsi barang penggunaan peribadi dengan orang lain

• Jika mendapati ada luka kecil atau ekzema, perlu rawat segera bagi mengelak jangkitan kuman.

• Jauhkan diri daripada orang yang ada impetigo supaya tidak terus merebak dan menjangkiti orang lain pula.

• Impetigo tidak berbahaya tetapi masih perlu dirawat bagi mengelak komplikasi lebih serius.

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 02:58 AM GMT+8 , Processed in 0.037439 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list