CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 828|Reply: 0

Dedikasi tanpa henti!

[Copy link]
Post time 3-4-2025 04:13 PM | Show all posts |Read mode

MINAT yang mendalam terhadap perkembangan jiwa anak-anak membawa wanita ini melangkah lebih jauh dalam bidang subkepakaran psikiatri kanak-kanak dan remaja ketika berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau kemudian menyambung pengajian di King's College London dan memperoleh Sarjana Sains Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja dengan kepujian.

Kini, berkhidmat sebagai Pensyarah Perubatan Kanan dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasratnya ingin terus menyumbang kepada kesejahteraan mental generasi muda negara.

Dr Rahima Dahlan berkata, minatnya dalam bidang itu mula timbul apabila menyedari bahawa kesihatan mental kanak-kanak dan remaja sering dipinggirkan.

Walhal fasa itu adalah masa kritikal dalam pembentukan identiti dan daya tahan mental seseorang.

"Ketika menjalani latihan psikiatri, saya tertarik dengan kes berkaitan gangguan perkembangan saraf (neurodevelopmental disorder), tingkah laku mencabar dan isu emosi yang merintangi tumbesaran sihat.

"Melihat bagaimana intervensi awal mampu mengubah hala tuju hidup seorang anak.

"Apa lebih bermakna ialah pendekatan kerja bersifat holistik. Saya bukan hanya bekerja dengan pesakit, tetapi turut membabitkan keluarga, guru dan komuniti.

"Gabungan faktor ini yang menguatkan tekad saya memilih bidang psikiatri kanak-kanak dan remaja sebagai medan perjuangan profesional," katanya.

Menyentuh masalah yang paling banyak dihadapi kanak-kanak dan remaja yang dirujuk, Dr Rahima berkata, berdasarkan pengalaman klinikal dan dapatan kajian, masalah paling lazim antaranya gangguan perkembangan saraf iaitu gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (ADHD).


"Masalah ini mempengaruhi kira-kira lima hingga tujuh peratus kanak-kanak, menjejaskan prestasi akademik dan hubungan sosial.

"Masalah lazim kedua juga membabitkan gangguan perkembangan saraf ialah gangguan spektrum autisme (ASD) dan kes yang didiagnosis semakin meningkat, menunjukkan keperluan pengesanan awal serta intervensi intensif," katanya.

Beliau berkata, masalah ketiga adalah kemurungan dan gangguan kecemasan atau 'anxiety'. Ia menjejaskan hampir satu daripada lima remaja. Ada kalanya membawa kepada pemikiran mencederakan diri.

"Masalah seterusnya ialah gangguan tingkah laku yang mana remaja mempunyai corak tingkah laku mencabar atau menentang autoriti dan sering dikaitkan dengan persekitaran berisiko.

"Masalah kelima adalah gangguan pemakanan iaitu anoreksia dan bulimia yang kian meningkat dalam kalangan remaja, terutamanya perempuan," katanya.

Dr Rahima berkata, tahap masalah psikiatri kanak-kanak dan remaja di negara ini menunjukkan trend yang membimbangkan dan semakin meningkat.

Jelasnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menjalankan kajian mengenai kesihatan mental kanak-kanak dan remaja pada beberapa tahun termasuk 2019, 2022 dan 2023.

"NHMS 2023 melaporkan bahawa 16.5 peratus kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, meningkat dua kali ganda berbanding 7.9 peratus pada 2019.

"NHMS 2022 pula menumpukan kepada kesihatan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, melaporkan prevalen kemurungan sebanyak 26.9 peratus, idea bunuh diri 13.1 peratus, rancangan bunuh diri 10.0 peratus dan percubaan bunuh diri 9.5 peratus.

"Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk intervensi kesihatan mental yang lebih menyeluruh di sekolah dan komuniti," katanya.

Katanya lagi, beliau kini terbabit dalam beberapa kajian termasuk kajian prevalens autisme membabitkan kanak-kanak berumur lapan hingga 10 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Ia sebagai sebahagian daripada projek kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana HSAAS adalah salah satu pusat rujukan untuk fasa diagnosis.

"Seterusnya ialah kajian tekanan dalam kalangan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ADHD. Ini bertujuan memahami beban emosi dan keperluan sokongan mereka.

"Kajian tingkah laku mencederakan diri tanpa niat bunuh diri (NSSI) dalam kalangan remaja yang mendapatkan rawatan di klinik kami.

"Kajian ini memberi fokus terhadap fungsi psikologi di sebalik tingkah laku tersebut dan rawatan yang paling sesuai," katanya.


Kata Dr Rahima, ibu bapa dan pendidik perlu peka terhadap beberapa perubahan tingkah laku yang mungkin dianggap remeh tetapi sebenarnya tanda awal gangguan kesihatan mental seperti perubahan emosi dan tingkah laku yang ketara.

"Contoh, anak yang dulunya ceria tiba-tiba menjadi murung atau cepat marah.

"Selain itu, kemerosotan akademik secara mendadak. Ini boleh menandakan masalah kemurungan atau masalah pembelajaran seperti ADHD.

"Sikap menyendiri dan menarik diri daripada aktiviti sosial, mungkin petanda keresahan sosial atau kemurungan.

"Begitu juga dengan tingkah laku agresif atau berisiko seperti mencederakan diri, melawan autoriti atau penyalahgunaan dadah," katanya.

Dalam pada itu Dr Rahima turut berkongsi pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan sebagai pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja.

"Antara momen paling menyentuh hati ialah apabila seorang remaja yang pernah mencederakan diri dan mengalami kemurungan kembali menemui saya selepas beberapa tahun, hanya untuk mengucapkan terima kasih.

"Dia berjaya pulih, melanjutkan pelajaran dan kini menjalani kehidupan dengan lebih positif.

"Momen seperti ini mengingatkan saya bahawa tugas sebagai pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja membawa harapan serta perubahan sebenar dalam hidup seseorang.

"Satu lagi pengalaman indah ialah ketika merawat seorang remaja yang didiagnosa dengan autisme pada usia belasan tahun dan mengalami kebimbangan melampau hingga tidak mahu ke sekolah.

"Dengan intervensi yang tepat dan sokongan keluarga serta guru, dia akhirnya kembali ke sekolah dan menunjukkan prestasi yang membanggakan. Melihat perkembangan sebegitu adalah kepuasan tidak ternilai," katanya. - Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 05:21 PM GMT+8 , Processed in 0.689956 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list