|
|
KEBIASAANNYA doktor sinonim bekerja di hospital atau klinik namun berbeza bagi Dr Shafiqah Mohamed Shamsuri, 35, yang menjalankan tugasnya di atas kapal sejak lima tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, anak jati Kuala Selangor ini pernah bertugas di banyak lokasi termasuk di perairan Malaysia, Sepanyol, Mozambique, Australia, Indonesia dan Korea.
Sebagai doktor 'offshore', skop tugasnya agak luas dan merangkumi pelbagai aspek perubatan termasuk menyediakan rawatan kecemasan sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan di tempat kerja.
Pada masa sama, beliau bertanggungjawab untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala kepada kru, memantau kesihatan mereka dan memberikan nasihat mengenai cara mengekalkan gaya hidup sihat di persekitaran kerja yang mencabar.
Selain itu, anak kedua daripada empat beradik ini juga terbabit dalam pengurusan kes penyakit kronik, seperti diabetes atau tekanan darah tinggi, yang mungkin dialami beberapa kru.
Dr Shafiqah berkata, doktor memainkan peranan yang sangat penting di 'offshore' kerana persekitaran kerja di sana yang berisiko tinggi dan terpencil.
"Kru kapal sering terdedah kepada bahaya fizikal, seperti kemalangan industri, kecederaan, dan juga penyakit yang berkaitan dengan persekitaran kerja.
"Kehadiran doktor di lokasi ini memastikan bahawa rawatan perubatan segera dapat diberikan sekiranya berlaku kecemasan, yang boleh menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko komplikasi.
"Selain itu, doktor juga bertanggungjawab untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala, memberikan pendidikan kesihatan, dan memastikan bahawa semua pekerja berada dalam keadaan sihat dan selamat. Ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan kru tetapi juga memastikan produktiviti kerja tidak terjejas," katanya.
Menurutnya, sebelum terjun ke dalam bidang 'offshore', dia bertugas sebagai doktor di Hospital Kuala Lumpur sejak tahun 2017.
Katanya, kemudian beliau mula mencari peluang lain untuk mengembangkan kerjayanya dalam bidang perubatan.
"Saya tertarik dengan idea bekerja di lokasi terpencil dengan cabaran yang unik serta peluang untuk melihat dan mengalami perkara baharu.
"Dengan rasa ingin tahu dan semangat untuk mencuba sesuatu yang berbeza, saya mengambil keputusan untuk memohon jawatan sebagai doktor 'offshore'.
"Alhamdulillah, permohonan saya diterima, dan sejak itu, saya mula menceburi bidang ini. Saya sangat menyukai konsep bekerja di kawasan terpencil, menghadapi cabaran yang berbeza, dan sentiasa belajar perkara baharu dalam persekitaran yang dinamik," katanya.
Katanya, rutin hariannya biasanya bermula dengan kerja-kerja klinikal rutin, seperti menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala untuk pekerja yang menghidap penyakit kronik, seperti diabetes atau tekanan darah tinggi.
"Selain itu, saya juga mengadakan sesi taklimat kesihatan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan berkongsi maklumat terkini mengenai wabak atau penyakit yang sedang berlaku, termasuk kesihatan mental.
"Pada masa sama, saya juga terbabit dalam melatih pasukan penyelamat untuk meningkatkan kesediaan mereka dalam menghadapi kecemasan perubatan. Sebahagian daripada tugas saya juga termasuk melakukan pemeriksaan kebersihan untuk memastikan kebersihan dan kesihatan persekitaran kapal terjaga.
"Pada waktu malam adalah untuk berehat, tetapi saya sentiasa bersedia untuk panggilan kecemasan sekiranya diperlukan," katanya.
Bekerja di atas kapal datang dengan pelbagai cabaran kerana lokasi kerja yang terpencil dan jauh dari kemudahan perubatan lengkap.
Dr Shafiqah perlu sentiasa berfikir mengenai batasan yang ada dan cara untuk mengatasi kekurangan itu, terutama dalam situasi kecemasan.
"Sebagai contoh, jika pesakit memerlukan rawatan lanjut di hospital, saya perlu merancang pengangkutan mereka dengan teliti kerana berada di tengah laut. Kadangkala, bantuan atau pemindahan pesakit boleh mengambil masa yang lama bergantung pada keadaan cuaca dan jarak ke daratan.
"Selain itu, cuaca dan keadaan laut yang tidak menentu juga boleh menyukarkan kerja, terutamanya apabila perlu melakukan pemindahan kecemasan. Namun, cabaran-cabaran ini juga yang membuatkan kerja saya lebih bermakna dan memuaskan," katanya.
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang bertugas sebagai doktor 'offshore' apabila salah seorang anak kapal terjatuh ke dalam laut pada waktu malam.
"Biarpun berdepan cabaran, tindakan pantas dan kerjasama erat daripada pasukan di platform, kami berjaya mengeluarkan anak kapal itu dari air dengan segera. Alhamdulillah, anak kapal itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan berada dalam keadaan sihat selepas kejadian.
"Pengalaman ini mengingatkan saya, betapa pentingnya kerjasama pasukan, kesediaan menghadapi kecemasan dan kepantasan bertindak dalam situasi kritikal. Ia juga menegaskan lagi nilai keselamatan dan latihan berterusan yang kami lakukan di 'offshore'," katanya.
Memandangkan bertugas di 'offshore' menuntutnya berjauhan daripada keluarga untuk tempoh yang lama, beliau sentiasa menghubungi keluarganya apabila mempunyai terluang.
Katanya, walaupun berada di 'offshore', beliau masih dapat berhubung dengan keluarga melalui akses internet yang disediakan untuk memberikan kemas kini keadaan dirinya dan mendengar cerita dari rumah.
"Komunikasi yang berterusan ini membantu saya mengekalkan hubungan rapat dengan keluarga walaupun berada jauh dari mereka. Sokongan daripada keluarga adalah kunci utama untuk saya dapat menyeimbangkan kedua-dua tanggungjawab ini
"Apabila pulang ke darat, saya akan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga termasuk hadir dalam setiap momen penting dan melakukan aktiviti yang terlepas semasa saya berada di atas kapal," katanya.
Biarpun pekerjaan dalam sektor 'offshore' didominasi oleh lelaki, namun Dr Shafiqah tidak pernah berasa terasing dan didiskriminasi.
"Anak-anak kapal sangat menghormati, sentiasa bersikap profesional dan mengambil berat kesejahteraan saya. Memandangkan kami menghabiskan banyak masa bersama, mereka menjaga saya seperti ahli keluarga sendiri.
"Selain itu, polisi dan peraturan yang ketat di tempat kerja juga melindungi saya daripada sebarang bentuk gangguan atau diskriminasi sekali gus memberikan saya rasa selamat dan selesa untuk bekerja dalam persekitaran yang didominasi lelaki.
"Sikap saling menghormati dan kerjasama antara rakan sekerja memudahkan proses penyesuaian diri saya, dan saya berasa dihargai sebagai sebahagian daripada pasukan," katanya.
Beliau menasihati wanita yang ingin menceburi kerjaya sebagai doktor 'offshore' supaya sentiasa yakin dengan kemampuan diri dan tidak takut menghadapi cabaran.
"Bidang ini memang mencabar, tetapi ia juga sangat memuaskan jika anda mempunyai minat yang mendalam terhadap perubatan dan kesihatan. Wanita dialu-alukan untuk menyertai kerjaya ini, dan saya sendiri mempunyai rakan sekerja wanita yang juga berkhidmat di 'offshore'.
"Selagi anda mempunyai keberanian, minat yang mendalam, dan kesediaan untuk belajar, anda pasti boleh berjaya dalam bidang ini," katanya.
Ditanya perancangan masa hadapan, Dr Shafiqah ingin melengkapkan kursus "Diving Physician" yang diharapkan dapat diselesaikan pada tahun ini.
"Selain itu, saya juga berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan pekerjaan kerana saya percaya ia akan melengkapkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam menjaga kesihatan pekerja di persekitaran yang mencabar.
"Saya berharap dapat terus memberikan sumbangan yang bermakna dalam bidang perubatan 'offshore' dan kesihatan pekerjaan sambil mengejar minat peribadi," katanya.
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|