"Saya tabik kepada pengarah dan semua pelakon yang berani bawa watak itu. Bagi saya kalau ia memberi satu refleksi kepada realiti sebenar, ia adalah satu mesej penting kepada masyarakat.
"Kepada mengkritik drama ini kata boleh mencemarkan imej Islam di Malaysia… Pertama sekali, ia bukan berkaitan dengan Islam tetapi individu yang buat orang sesat menggunakan agama Islam.
"Situasi ini memang berlaku dalam masyarakat kita. Ia bukan satu gambaran boleh mencemarkan Islam, tetapi mesejnya boleh selamatkan umat Islam supaya tak terpengaruh dengan watak-watak seperti itu," katanya.
Caprice berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.
Dalam pada itu, Caprice turut menyokong inisiatif pihak produksi drama tersebut namun menyifatkan masih ramai dalam kalangan masyarakat belum terbuka dengan pendedahan berkaitan agama.
"Bagi saya mesej-mesej seperti ini sangat penting cuma mungkin cara mereka (produksi) nak sampaikan mesej itu terlalu berani.
“Saya tak rasa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk drama seperti ini," ujarnya.
Sebelum ini, kecoh di media sosial adegan pelakon Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kakinya menjadi perdebatan ramai.
Selain itu, babak lakonan aktres Fazlina Ahmad Daud yang meminum air basuhan dan mencium kaki Faizal turut menerima pelbagai reaksi netizen.
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jakim) memanggil produksi drama Bidaah bagi meneliti kandungan drama tersebut merangkumi klip video episod mencetuskan kontroversi selain babak yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
Mengakui khilaf sendiri, Erma terlebih dahulu memotong dua babak tersebut dan menegaskan dia tiada niat mempersendakan agama.
Sumber: mStar