PETALING JAYA – Memberi semangat, pelakon Sharnaaz Ahmad menyifatkan tindakan tiga penyampai radio segmen 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin yang mengaku salah serta meminta maaf sebagai tindakan berani.
Menurut Sharnaaz, sikap sebegitu seharusnya diberikan pujian terutama bagi mengaku kesilapan yang telah menyentuh sensitiviti agama dan kaum lain. “Saya tahu anda bertiga sekarang dalam keadaan yang sangat ‘down’. Di sini, apa yang kalian buat adalah salah, sangat salah.
“Jangan sesekali kita mempermainkan apa-apa agama di Malaysia. Sebab itu bukan budaya orang Malaysia.
“Kita hormat dan berkawan dengan setiap bangsa yang ada.
“Tapi saya tetap perlu beri ‘respect’ kepada kalian bertiga sebab berani mengaku salah dan mengaku sudah buat satu kesilapan yang besar. Termasuk berjumpa dengan orang yang sepatutnya dan minta maaf,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Tambahnya, setiap individu melakukan kesilapan dan tiga penyampai tersebut layak diberikan perluang kedua bagi menebus semula kesilapan mereka.
“Setiap manusia buat silap dan orang yang mengaku silap mereka wajib kita beri peluang kedua, itu sahaja.
“Kembali kuat. Kami sebagai orang Islam dan Melayu, akan sentiasa berada di belakang kalian semua.
“Cuma apa yang kalian buat tetap salah dan kesilapan telah diakui. Bagi aku benda itu adil,” katanya lagi.
Sharnaaz juga sempat menitipkan pesanan buat rakan-rakan kaum India agar menerima permohonan maaf tiga selebriti berkenaan.
“Kepada rakan-rakan India yang aku sayang, kami menyesal sekali manusia buat silap dan mereka sudah meminta maaf.
“Kita ‘move forward’ dan bersatu kembali,” jelasnya.
Semalam, Nabil, Radin dan Azad selesai memberi keterangan selama lebih dua jam di Bukit Aman berhubung dakwaan mempersendakan upacara agama Hindu.
Difahamkan, keterangan mereka dirakam oleh pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
Kosmo
|