
Nancy (dua kiri) bergambar bersama tetamu selepas merasmikan Persidangan Keusahawanan Wanita 2025 di Dayak Chamber Tower, Kuching hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Golongan wanita diseru agar lebih berani menyuarakan pendapat serta melibatkan diri dalam pelbagai program termasuk anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri menegaskan bahawa wanita harus menggunakan inisiatif serta peluang yang disediakan oleh kerajaan sebagai sumber pendapatan sampingan.
"Secara peribadi saya ingin melihat lebih ramai golongan wanita berjaya.
"Tidak kira anda ingin menjadi ahli politik atau usahawanita, justeru setelah perbincangan bersama kementerian saya, saya ingin membuka lebih banyak peluang dan platform untuk golongan wanita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Keusahawanan Wanita 2025 di Dayak Chamber Tower di sini hari ini.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahli Parlimen Santubong itu turut berkongsi pengalamannya sendiri mengenai kepentingan keberanian dan usaha dalam merebut peluang yang ada.
"Saya sendiri pernah melalui pengalaman ini. Jika kita tidak mendorong diri sendiri kita tidak akan ke mana-mana kerana tiada siapa yang akan memberikan peluang kepada kita.
"Kita perlu berusaha dan menyedari bahawa terdapat banyak peluang serta potensi di luar sana. Bagaimana kita boleh melibatkan diri," katanya.
Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan bidang penjagaan khususnya perkhidmatan penjagaan berpantang yang wajar diketengahkan bagi membantu wanita selepas bersalin.
Beliau berharap peluang ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh wanita dewasa tetapi juga golongan wanita muda dan remaja.
"Saya mahu melihat lebih ramai wanita muda dan gadis-gadis muda merebut peluang ini," katanya.
|