Edited by JoyahMengayah at 16-3-2025 05:10 AM
Update:
PETALING JAYA – Pihak penerbit drama bersiri Bidaah akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, Jakim.
“Ini bagi meneliti kandungan drama tersebut merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
“Jakim telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jakim sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama.
Katanya, Jakim juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.
“Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat.
“Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara bertentangan dengan nilai dan etika,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul menyentuh janggut Faizal Hussein menggunakan kakinya yang menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.
Drama Bidaah mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lalu dan diarahkan oleh Pali Yahya dan diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan. Walid dengan beraninya mengaku bahawa dirinya merupakan jelmaan Iman Mahdi kepada para pengikutnya. – KOSMO! ONLINE
PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd. Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menegur penerbit drama sensasi, Bidaah iaitu Erma Fatima susulan babak melampau melibatkan karakter alim ulama.
PU Syed menerusi satu hantaran dalam Facebook berkata, adegan atas katil atau dalam kelamin bersangkut-paut dengan agama tidak perlu disensasikan buat tatapan khalayak.
“Plot cerita melampau ditonjolkan apabila melibatkan Islam. Sudah mati idea rasanya para sutradara di Malaysia dalam menghasilkan cerita berkualiti dan patuh syariah.
“Memang wujud ajaran sesat yang menghambakan para pengikutnya, namun saya rasa tak perlukan dipertontonkan kepada khalayak. Apatah lagi adegan atas katil juga dipamerkan seperti video tular dalam media sosial,” katanya.
Syed menyarankan agar Erma selaku orang berpengaruh menghasilkan naskhah-naskhah bersifat patriotik yang memberi kebaikan kepada masyarakat.
“Kementerian yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini. Adakah peraturan sekarang sudah semakin longgar,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Syed juga menegur drama satu lagi terbitan Erma Fatima iaitu Keluarga Itu yang dikatakan mempertontonkan babak haruan makan anak atau sumbang mahram.
Terdahulu tular babak dalam Bidaah menyaksikan Vanidah sebagai Ummi Rabiatul yang berbaring di atas katil dilihat menyentuh janggut ketua ajaran sesat, Walid (Faizal) menggunakan kakinya.
Turut mencuri tumpuan drama Keluarga itu apabila penonton sesak dada menghayati watak Iman lakonan Datuk Rosyam Nor yang sanggup mencabul anak perempuannya demi memuaskan nafsu. – KOSMO! ONLINE
|