Alor Setar: "Saya reda dengan kehilangan ayah walaupun masih bersedih dengan kehilangan kakak yang meninggal dunia pada hari sama," kata Mohd Akram Ibrahim, 30.
Mohd Akram adalah anak kepada Ibrahim Mydin, 61, yang
ditemui rentung bersama anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, di rumah di Tongkang Yard, 21 Januari lalu.
Mohd Akram berkata, dia bersyukur apabila jenazah bapanya akhirnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ikhsan, Tongkang Yard, di sini, semalam.
Katanya, pada hari kejadian, dia sempat pergi ke lokasi untuk melihat kawasan kebakaran malah tidak menyangka bapa dan anak angkatnya dibunuh.
"Beberapa jam kemudian, saya dimaklumkan kakak, Zainab Ibrahim, 35, pula meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
"Walaupun sedih dengan kehilangan bapa dan kakak serentak, saya reda dan mungkin ujian buat kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, dia menerima berita yang bapanya rentung dalam kebakaran itu daripada orang awam.
"Saya ketika itu macam tak percaya kerana bapa seorang yang berjaga-jaga dengan persekitaran rumahnya.
"Ayah ada penyakit asma dan kali terakhir saya datang 11 malam kemudian di rumah ini dan bersembang kira-kira satu jam setengah.
"Rumah itu adalah rumah pusaka dan ayah tinggal di sini sejak berpisah dengan ibu dan saya kadang-kadang pergi menjenguk ayah," katanya.
Sementara itu, bapa Muhammad Muslim, Mohd Zaini Hashim, 63, berkata, dia sekeluarga bersyukur jenazah Muhammad Muslim selamat dikebumikan, semalam di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Salam, Tambak Bunga, Kuala Kedah.
"Batu nisan semua pakcik dah tempah dan majlis tahlil juga kami buat termasuk di Merbok.
"Apapun pakcik masih teringatkan anak pakcik, dia seorang anak yang baik," katanya.
Isnin lalu, dua lelaki
didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh warga emas dan anak angkatnya dengan cara membakar rumah mereka.