Keadaan banjir setinggi 4 kaki yang melanda kawasan Long Teran Kiri, Tinjar semalam.
MIRI: Lebih 20 buah kawasan di daerah Beluru masih terjejas teruk akibat banjir yang melanda hingga mencapai kedalaman 11 kaki, malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri, secara keseluruhan sebanyak 63 kawasan didaerah Beluru yang masih dilanda banjir.
Ia terdiri daripada 50 buah kampung/rumah panjang, 10 buah sekolah dan tiga klinik kesihatan dengan jumlah penduduk seramai 7,682 orang.
"Daripada jumlah itu, 20 buah kampung/rumah panjang dan dua buah sekolah rendah (SK) masih masih terjejas teruk akibat banjir yang sedalam 5 hingga 11 kaki," katanya.
Menurut Mirwan, kawasan-kawasan yang terjejas teruk itu terdiri daripada Rumah Robin, Long Tuyut, Tinjar dengan paras banjir setinggi 11 kaki; Rumah Magdaline, Lubok Mulong (10 kaki), Rumah Adin, Sg. Kelabit, Bakong (8 kaki); Long Tisam D, Tinjar (7 kaki) dan Rumah Dasu Kasa, Long Jegan Atas B, Rumah Labang, Nanga Seridan; Long Marigam, Tinjar; Rumah Guyang, Kampung Kwenie Tabing dan Rumah Budin, Sg Tuyut; Rumah Mathew Tiri, Sg Mangka Seruas Bakong dan Rumah Renking, Sungai Buri Tengah, Bakong masing-masing dilanda banjir sedalam 6 kaki hingga 6.7 kaki.
Manakala Long Sepiling dan Long Ajoi, Tinjar; Rumah Sandom Aji, Sungai Buri; Rumah Duri, Nanga Lait; Rumah Aji, Sungai Tuyut; Rumah Niga, Sungai Nyiro; Rumah Jarau, Long Tabing; Rumah Sofia, Sg. Kelabit Baruh, Bakong; Rumah Langat Anthony Colin, Nanga Majang; SK Kuala Bok dan SK Sg. Kelabit pula masing-masing ditenggelami banjir sedalam antara 5 kaki hingga 5 kaki 10 inci.
Manakala paras banjir di kawasan terjejas yang lain adalah sedalam setengah kaki hingga 4.8 kaki.
Keadaan banjir yang berlaku di Kampung Padang Kerbau, Marudi pagi ini.
"Hasil pemantauan yang dilakukan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) Beluru mendapati keadaan air menunjukkan trend yang pelbagai dengan sebahagian menurun, menahan dan menaik.
"Keadaan banjir ini berlaku berikutan kenaikan paras air akibat sungai pasang besar dan bertembung hujan lebat berkala bermula 11 Januari lalu sehingga kini," ujar beliau sambil menambah hujan masih turun dari malam tadi hingga pagi ini di daerah Beluru.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 33 buah keluarga melibatkan 108 mangsa dari empat buah kampungdi daerah Beluru telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sementara itu menurut Mirwan, beberapa kawasan di Marudi turut dilanda banjir sehingga pagi ini.
Kawasa-kawasan yang terlibat seperti jalan raya Sg. Arang (0.18 meter), Kampung Padang Kerbau (0.3 meter), Pekan Marudi (0.36 meter), Kampung Cina (0.3 meter), Kampung Ridan (0.4 meter), Kampung Dagang (0.36 meter), Kampung Narum (0.3 meter) da jalan raya Logan Entasan (0.2 meter).
Katanya, kenaikan paras air ini berlaku akibat dari air sungai pasang besar dan bertembung hujan lebat berkala sejak 26 Januari lalu sehingga kini.
"Manakala bagi kawasan Telang Usan, hanya tiga kawasan yang masih terjejas sehingga pagi ini iaitu Kampung Long Bemang, SK Long Bemang dan Klinik Kesihatan Long Bemang dengan banjir sedalam 1.2 kaki," katanya.
|