KUANTAN - Kelicikan wanita asing menggunakan kad pengenalan dan sijil lahir warga Malaysia palsu untuk menjalankan perniagaan di sini terbongkar selepas ditahan pada Ahad.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata, operasi terancang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama JPN Pahang dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurutnya, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Kempadang.
"Pemeriksaan mendapati wanita berusia 36 tahun berasal dari Medan, Indonesia itu memiliki dua dokumen iaitu pasport Indonesia yang sah dan kad pengenalan bertaraf warganegara Malaysia dengan mengandungi butiran palsu.
"Wanita itu disyaki memiliki sijil lahir milik orang lain dengan membeli daripada ejen pada harga RM8,000 sehingga terkeluar kad pengenalan kepadanya," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin. Tambahnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut JPN.
Jelas beliau, tindakan diambil mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
"Operasi ini dilaksanakan bagi memastikan setiap pesalah yang melakukan kesalahan mendapat hukuman setimpal mengikut peruntukan undang-undang JPN," ujarnya.