RAMPAS: Ikan yang ditangkap dipercayai menggunakan bahan letupan.
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan menahan dan merampas bot nelayan dalam satu operasi di barat laut Pulau Manukan.
Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim KILAT 36 yang dalam siri Operasi Sejahtera itu mengesan bot nelayan bersama empat orang kru jam lebih kurang 11 malam Rabu.
“Ketika bot peronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, bot nelayan berkenaan cuba melarikan diri sebelum pihak Maritim Malaysia bertindak mengejar bot terbabit sebelum kesemua kru bot nelayan terjun ke laut untuk melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan untuk menyelam ditemukan bersama muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati keputusan bedah siasat awal di lokasi menunjukkan ikan terbabit ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, bot nelayan, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dianggarkan berjumlah 200 kilogram itu dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM4 juta atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya sambil menambah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah kira-kira RM17 ribu.
Beliau berkata, aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan ini boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin pupus.
“Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan - peraturan yang ditetapkan. “Orang awam juga dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencurigakan di perairan negara.
“Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi MN Sabah 088-270165 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut.
|