|
Penyanyi Sarah Suhairi gembira bergelar 'ibu segera' kepada kepada tiga cahaya mata, iaitu hasil perkahwinan pertama suaminya, Aswad Anuar.
Sarah, 25, berkata kehadiran tiga anak perempuan tidak pernah mendatangkan masalah, sebaliknya seronok meluangkan masa bersama.
"Sememangnya selepas bergelar isteri, hidup saya agak sibuk berbanding sebelum ini. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri.
"Anak-anak tiri tinggal bersama ibu mereka, tetapi cuti sekolah atau hujung minggu mereka datang tinggal bersama kami.
"Jujurnya, saya tak terbeban pun, ia lebih seperti hubungan kawan-kawan. Mereka selalu ikut saya keluar jumpa kawan-kawan. Mereka okay sahaja, Alhamdulillah," katanya yang ditemui pada sidang media lagu duetnya bersama Sufian Suhaimi berjudul Dengan Lafaznya di Rusa Cafe, di sini, petang semalam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Sah ini tidak menafikan agak bimbang soal keserasian, tapi syukur anak-anaknya mudah mesra.
"ada awalnya saya fikir bagaimana nak berinteraksi, ambil hati dan sesuaikan diri. Nak kata jarak usia jauh sangat, tak juga.
"Sebenarnya adik bongsu saya sebaya dengan anak sulung berusia 15 tahun.
Jadi, saya ingatkan kami akan kekok, tapi anak okay sahaja.
"Saya bertuah memiliki anak-anak tiri yang baik dan senang untuk diuruskan, terutamanya anak kedua. Dia selalu datang rumah sebab suka bermain dengan kucing," katanya.
Dalam pada itu, Sarah mengakui popularitinya agak perlahan selepas bergelar isteri dan kini sedang berusaha tampil dengan lagu-lagu yang boleh kembali popularitinya.
"Bagi saya, berkahwin bukanlah petanda sudah tidak laku dan tiada 'show'. Selepas berkahwin akan ada fasa perjalanan kerjaya agak perlahan, jadi saya kena cari jalan bagaimana nak naik semula.
"Karya dihasilkan juga perlu selari dengan status. Jadi, saya kena bekerja keras dan sangat berterima kasih kepada Rusa Music dan Warner Music yang sangat menyokong," katanya.
Terdahulu, Sarah mendirikan rumah tangga dengan Aswad pada 26 Julai tahun lalu di Barern Hill, Hulu Langat, Selangor.
Sebelum itu, Aswad yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah berkahwin, namun bercerai pada 2019. Hasil perkahwinan, Aswad dikurniakan tiga cahaya mata yang kini berusia 15, 12, dan 9 tahun.
Sumber : - Berita Harian
|
|