CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9557|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak perlu tenaga kerja berkemahiran tinggi, elak terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana: Premier

[Copy link]
Post time 23-1-2025 04:22 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari ketika berucap pada majlis pelancaran GETS-WRP hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengelakkan negeri ini daripada terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan inisiatif ekonomi baharu seperti menangani perubahan iklim, membangunkan kuasa hidrogen, dan mentransformasikan sektor pertanian melalui teknologi.

"Graduan kita perlu dilengkapi dengan kemahiran yang betul untuk menyertai transformasi ekonomi ini dan meraih pendapatan tinggi.

"Kita tidak mahu terperangkap dalam ekonomi berpendapatan sederhana. Kita mesti bergerak ke hadapan dengan tenaga kerja yang inovatif, kreatif dan berkemahiran tinggi.

"Kemahiran mempunyai nilai dan dengan itu, anda akan mendapat gaji yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak-Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di sini, hari ini.


Abang Johari melakukan simbolik pelancaran GETS-WRP sambil disaksikan Dr. Muhammad Abdullah (dua kanan) dan yang lain pada majlis pelancaran GETS-WRP hari ini. - Gambar Roystein Emmor

Oleh itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak melaksanakan program GETS-WRP sebagai langkah untuk mengatasi cabaran tersebut.

Menurutnya, program itu dijangka melatih kira-kira 1,000 graduan untuk meningkatkan kemahiran mereka mengikut keperluan semasa.

Apatah lagi katanya, para peserta program tersebut akan ditempatkan di agensi strategik bagi mendapatkan pengalaman kerja.

"Daripada pengalaman yang diperoleh ini, anda bolehlah memilih profesion yang diingini dan suatu hari nanti, anda mungkin dapat membangunkan perniagaan sendiri.

"Ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan anda, tetapi juga memacu ekonomi negeri ke hadapan.

"Maknanya, kita tidak lagi akan berada dalam perangkap pendapatan sederhana tetapi menjadi lebih inovatif dengan mencipta produk yang mampu bersaing di pasaran global," jelas beliau.


Abang Johari bersama Dr Muhammad Abdullah (duduk, dua kanan) dan tetamu kehormat lain serta graduan pada majlis pelancaran GETS-WRP hari ini. - Gambar Roystein Emmor

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancang Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel memaklumkan, program GETS-WRP memainkan peranan penting dalam usaha Kerajaan Sarawak merapatkan jurang antara kelayakan akademik dengan keperluan industri.

Program itu katanya, selaras dengan misi pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang meletakkan pembangunan modal insan di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi negeri.

"Program GETS-WRP bukan sekadar inisiatif, tetapi ia merupakan janji kita kepada golongan muda, kita percaya pada potensi dan komited untuk menyediakan peluang supaya mereka dapat berkembang maju.

"Program ini juga akan melengkapkan siswazah kita bukan sahaja dalam kemahiran teknikal dan profesional, tetapi juga dengan minda serta etika kerja sekali gus dapat membentuk generasi pemimpin yang akan memacu kepada pertumbuhan termasuk kemakmuran Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Abdullah meminta graduan untuk merebut peluang mendapatkan kemahiran pengalaman baharu yang akan membentuk masa hadapan mereka.

"Ingat, kemahiran yang anda perolehi di sini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada diri, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negeri kita dan seterusnya," ujarnya.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi organisasi iaitu Univerisiti Curtin Malaysia, Excelerate Asia, Jobstreet.Com serta semua pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program itu.

Untuk rekod, GETS-WRP menyasarkan 1,000 pelatih dengan tiga sesi pengambilan iaitu Januari, April, dan Julai 2025 bagi memastikan aliran peserta yang berterusan ke pasaran kerja, membangunkan tenaga kerja Sarawak yang berkemahiran tinggi menghadapi cabaran tempatan dan global.

GETS-WRP merupakan program latihan selama 12 bulan yang memberi tumpuan kepada latihan praktikal dalam pelbagai industri melibatkan dua fasa iaitu Program Kemahiran Peningkatan Kerjaya (CESP) selama tiga bulan dan Latihan Industri dalam tempoh sembilan bulan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 06:23 AM GMT+8 , Processed in 0.039454 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list