Rapat jurang melalui pengurangan keciciran murid kurang berada, pedalaman, berkeperluan khas, kumpulan minoriti
Sagah (duduk baris dua, enam kiri), Omar (duduk baris dua, lima kanan) bergambar bersama para wakil penerima cek cura dan pelajar selepas majlis penyerahan di Auditorium JPN Sarawak, Kuching hari ini.
"Saya percaya bantuan ini amat bermakna khususnya bagi mereka yang menghadapi cabaran ekonomi dalam mempersiapkan diri untuk memulakan sesi persekolahan setiap tahun.”
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat
Oleh Frankie Junau
KUCHING: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diagih setiap tahun sejak 2012 merupakan satu inisiatif keprihatinan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan di negara ini.
Dalam konteks ini, jurang pendidikan berupaya dirapatkan melalui pengurangan kadar keciciran ke sekolah di kalangan murid kurang berada, murid pedalaman, murid berkeperluan khas serta murid daripada kumpulan minoriti.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sarawak di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri (JNP) Sarawak di sini pagi tadi berkata, bantuan bukan sekadar sokongan dari segi wang ringgit malah satu bentuk manifestasi kerajaan MADANI kepada pembangunan sektor pendidikan yang merupakan asas pembentukan generasi MADANI pada masa depan.
"Saya percaya bantuan ini amat bermakna khususnya bagi mereka yang menghadapi cabaran ekonomi dalam mempersiapkan diri untuk memulakan sesi persekolahan setiap tahun.
"Seperti yang kita maklum, bantuan secara 'one off' yang sebelumnya berjumlah RM100 sejak 2012 kepada murid daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah kasar RM3,000 dan ke bawah telah dinaikkan ke RM150 bermula 2023.
"Ini bagi memastikan tiada murid tercicir atau terhalang daripada menikmati manfaat pendidikan akibat kesulitan atau cabaran ekonomi yang semakin mencabar saban tahun," katanya.
Tambahnya, walaupun jumlahnya tidak seberapa namun BAP menyediakan peluang yang sama rata dalam kalangan murid untuk memulakan hari pertama persekolahan dengan kelengkapan sekolah tersedia.
Bantuan ini diharap sedikit sebanyak meringankan beban tanggungan ibu bapa atau penjaga murid untuk terus mendukung aspirasi dan inisiatif Kerajaan MADANI dalam usaha memartabatkan pendidikan negara.
"Saya cukup optimis bahawa BAP mampu memberi suntikan semangat dan dorongan kepada setiap murid supaya mereka mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk memulakan sesi persekolahan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.
Sagah turut mengingatkan bahawa pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang akan memberi impak positif kepada pembangunan negara.
"Justeru, kita perlu bekerjasama bagi mengukuhkan sinergi ke arah menjayakan agenda pendidikan negara bagi melahirkan generasi celik pendidikan dan generasi MADANI," ujarnya sambil meluahkan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen jitu dalam memastikan kelancaran proses agihan BAP dengan tiada keciciran dan ketirisan sepanjang penyaluran bantuan itu.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Pengarah Pendidikan Negeri Omar Mahli, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Sekolah, KPM Zainal Abas, para pegawai pendidikan daerah, pengetua, guru besar dan pelajar yang menerima simbolik penerimaan BAP.
|