FOTO fail menunjukkan kapal berbendera Barbados, True Confidence, terbakar berikutan serangan peluru berpandu dilancarkan Houthi pada 6 Mac 2024, FOTO Reuters
Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menandatangani perintah eksekutif dengan sekali lagi menamakan pemberontak Houthi Yaman yang disokong Iran sebagai "organisasi pengganas asing", kata Rumah Putih pada semalam.
Ketika bekas Presiden Joe Biden mengambil alih pentadbiran pada 2021, beliau menghapuskan klasifikasi yang ditandatangani Trump pada penghujung penggal pertamanya.
Tindakan Biden itu sebagai tindak balas kepada kebimbangan kumpulan bantuan bahawa mereka perlu menarik diri dari Yaman.
Ia kerana terdapat kewajipan untuk berurusan dengan pemberontak, yang secara efektif menjadi kerajaan di kawasan luas di Yaman, termasuk ibu kota Sanaa.
Bagaimanapun, beberapa minggu selepas perang di Gaza meletus pada 7 Oktober 2023, Houthi melancarkan serangan ke atas kapal di Laut Merah dan Teluk Aden, dalam apa yang dikatakan sebagai sokongan kepada Palestin.
Mereka juga mengisytiharkan kepentingan AS dan Britain sebagai sasaran sah.
Sebagai tindak balas, pentadbiran Biden pada tahun lalu meletakkan Houthi kembali dalam senarai kumpulan 'pengganas global ditetapkan khas'.
Klasifikasi yang sedikit kurang itu masih membenarkan bantuan kemanusiaan untuk sampai ke negara dilanda perang itu.
Tindakan Trump pada Rabu itu bertujuan untuk mengenakan semula label yang lebih ketat bagi organisasi pemberontak asing.
Perintah eksekutif Trump berkata, Houth melancarkan banyak serangan ke atas infrastruktur awam dengan sebahagiannya ke atas lapangan terbang awam di Arab Saudi.
Selain itu, lebih 300 projektil dilepaskan ke Israel sejak Oktober 2023.
Perintah itu mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk berkuat kuasa.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|