![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250117/myy-ub170125-sn-abgjorating-p1.jpg)
Abang Johari menandatangani plak perasmian Jambatan Marudi pagi tadi sambil disaksikan tetamu kehormat lain. - Gambar UKAS
MIRI: Penilaian terbaik kepimpinan sebuah negeri boleh diukur dari pertumbuhan ekonomi yang telah dicapai, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Berucap merasmikan Jambatan Marudi pagi tadi beliau memberitahu, ia merupakan tanggungjawab kolektif semua wakil rakyat yang dipilih dalam kabinet negeri.
Menurut Abang Johari, pencapaian boleh dilihat daripada pengesahan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi.
"Pengesahan tersebut adalah ukuran hasil dan penilaian yang perlu untuk diberi perhatian.
"Kami (kabinet) dalam kerajaan (Sarawak), semuanya sama.
"Tiada (penilaian) 40 peratus, 30 peratus, 20 peratus, kerana kami semua kerjasama, kerja kuat, sama ada Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh. Kita kerja kuat.
"Kita bergabung. Sistem Kabinet adalah tanggungjawab kolektif termasuk semua.
"Kenapa perlu hendak dinilai-nilai. Nilainya sama ada ekonomi kita baik atau tidak," tegas beliau.
Menurut Abang Johari, setiap wakil rakyat yang dipilih bekerjasama tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Tegasnya, penilaian tidak dilihat dari perbezaan latar belakang tetapi pencapaian yang diperoleh dari semua.
Untuk itu, Abang Johari meminta rakyat untuk tidak berpecah belah dan mahu mereka mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan penyatuan.
"Kita terus jaga perpaduan.
"Dalam kabinet, kita akan kerja, buat dasar-dasar yang baharu," jelasnya.
|