'Kakak' cabut bulu lepas jadi saksi bisu tsunami
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Disember 25, 2024 @ 8:00am [email protected]
Azmi bersama Kakak menjadi saksi kejadian tsunami di Kampung Masjid, Kota Kuala Muda. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
KUALA MUDA: Seekor burung kakak tua menjadi saksi bisu tragedi tsunami apabila terselamat daripada gelombang besar yang membadai rumah pemiliknya 20 tahun lalu.
Hingga ke hari ini, Azmi Marzuki, 59, menyifatkan kejadian itu sebagai aneh kerana burung peliharaannya itu terselamat, sedangkan banyak ternakan seperti kambing dan lembu mati dihanyutkan ombak besar.
Ketika tsunami melanda pada 26 Disember 2004, katanya, burung kakak tua yang dipanggil 'Kakak' itu masih kecil dan belum mampu terbang tinggi.
"Burung kakak tua ini dibawa dari Indonesia pada 2003, saya jaga ketika dia masih kecil dan oleh sebab jinak, kami panggil 'Kakak' yang dibiar hidup bebas.
"Pada hari kejadian, saya tinggalkan Kakak di atas pangkin depan rumah sebelum menghadiri majlis kenduri berdekatan rumah.
"Dalam jam 12.30 tengah hari, kami nampak gelombang ombak tak macam biasa. Saya bergegas pulang dan ajak isteri ke pantai untuk melihat ombak.
"Bila tengok ombak luar biasa, saya dan isteri kembali ke rumah dan bawa anak naik ke bahagian atas.
"Ombak besar mula membadai dalam jam 1.30 tengah hari dan Alhamdulillah, kami selamat kerana sempat naik ke atas rumah," katanya ketika ditemui di Kampung Masjid di sini.
Azmi berkata, mereka sekeluarga berlari ke tengah sawah sebaik air surut kerana bimbang berlaku gelombang kedua.
"Dahsyatnya keadaan masa itu memang tak dapat nak cerita, semua berlari untuk selamatkan nyawa sendiri. "Saya masih ingat Kakak meniti atas pagar rumah tapi saya tak sempat nak selamatkan dia kerana memikirkan anak isteri," katanya.
Sehari selepas kejadian, Azmi pulang untuk melihat keadaan rumah dan terkejut melihat Kakak bertenggek di dinding luar rumah dalam keadaan kelaparan.
"Saya tegur Kakak dan kata 'panjang umoq hang lagi noh'.
"Selepas kejadian itu, Kakak mula berubah dan mencabut bulu di badannya satu persatu.
"Kami bawa Kakak ke klinik veterinar. Doktor mengatakan Kakak tertekan dan trauma, malah sehingga kini dia takut pada bunyi kuat seperti zink ditarik.
"Saya minta sepupu menjaga Kakak sementara waktu ketika itu kerana kami sekeluarga turut trauma," katanya yang masih menjaga Kakak dengan penuh kasih sayang.
Bagaimana Kakak mengharungi tsunami sedangkan banyak kenderaan, pokok dan rumah musnah dihempas ombak, kekal menjadi misteri hingga kini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341043/kakak-cabut-bulu-lepas-jadi-saksi-bisu-tsunami
|