Tangkap layar menunjukkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd untuk menipu orang ramai.
KUCHING: Pihak Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd (Inter-Continental Travel) semalam memaklumkan terdapat individu atau pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai 'TRAVELO HOLIDAY' dengan menggunakan alamat rasmi syarikat itu.
Menurut satu kenyataan akhbar dikeluarkan Inter-Continental Travel semalam, pihak tidak bertanggungjawab itu juga menggunakan beberapa nombor telefon lain untuk menjalankan modus operandi ini.
"Kami menegaskan bahawa syarikat kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak tersebut.
"Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan pihak yang cuba melakukan penipuan ini.
“Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd hanya beroperasi di bawah nama rasmi syarikat kami untuk semua urusan dan transaksi," jelasnya.
Sehubungan itu syarikat berkenaan menasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembayaran atau berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali.
Orang ramai juga dinasihati sentiasa sahkan sebarang maklumat melalui talian rasmi syarikat itu sebelum melakukan transaksi.
"Hubungi kami segera jika anda menerima tawaran mencurigakan yang menggunakan nama atau alamat syarikat kami.
"Pihak kami sedang mengambil tindakan untuk menyiasat isu ini dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti penipuan ini.
“Keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami adalah keutamaan kami," tegasnya
Pihak Inter-Continental Travel juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan perhatian semua pihak dalam menangani isu ini.
|