Banjir kilat menyebabkan bahagian belakang kediaman flat tidak dapat dilalui kenderaan di Sibu Jaya petang tadi.
SIBU: Hujan lebat melanda kira-kira jam 4 petang tadi menyebabkan kejadian banjir kilat di kawasan belakang perumahan flat di Sibu Jaya.
Air dilaporkan melimpah dari parit besar yang terletak bersebelahan kawasan pembinaan kediaman baharu sehingga mengakibatkan laluan di belakang flat terbabit ditenggelami air.
Kejadian itu merupakan insiden kedua selepas banjir serupa berlaku pada 22 November lalu.
Penduduk sekitar percaya punca banjir adalah disebabkan sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.
Justeru, mereka menggesa pihak berkuasa dan pemaju projek terbabit segera mengambil langkah penyelesaian untuk mengelak kejadian berulang.
Setakat ini, tiada laporan kerosakan besar atau kecederaan diterima.
Namun penduduk berharap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka terjamin.
|